SATU perkara tentang Malaysia, tanah ini sangat bertuah dan antara bukti kukuhnya, perayaan tidak kisahlah sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina atau Deepavali disemarakkan semua lapisan masyarakat.
Tradisi kunjung-mengunjung, rumah terbuka dan saling memberi ucapan menjadi jambatan yang merapatkan jurang perbezaan budaya, bahasa dan agama.
Di sinilah keindahan sebenar Malaysia terserlah apabila kepelbagaian tidak dilihat sebagai pemisah, sebaliknya diraikan sebagai kekuatan. Setiap perayaan membawa bersama nilai murni seperti hormat-menghormati, tolak ansur dan semangat kekitaan.
Sehubungan itu, HibGlam merangkumkan lagu-lagu raya diingati sehingga kini yang alunan melodinya dirakamkan insan-insan hebat yang mencerminkan perpaduan dan kesaksamaan negara berbilang bangsa setiap kali menjelang Aidilfitri.
Bersama Di Hari Raya – Cenderawasih

Lagu Bersama Di Hari Raya dendangan duo adik-beradik berbangsa India Helen Savari dan Irene Savari ini masih menjadi siulan ramai sehingga hari ini. Dimuatkan dalam album kompilasi Bersama Di Hari Raya yang diterbitkan pada tahun 1985 oleh syarikat EMI, lagu berkenaan merupakan ciptaan sepenuhnya komposer, Syed Haron.
Tahun berganti tahun, lagu dendangan Cenderawasih itu tetap menjadi pilhan generasi muda dan lama walaupun sudah hampir 40 tahun diterbitkan.
Helen dan Irene merupakan graduan pendidikan muzik dari Berklee College of Music, Boston. Kini, selain Helen yang menetap di Switzerland, Irene menjawat jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif International College Of Music (ICOM).
Menjelang Hari Raya – DJ Dave

Merupakan antara antem lagu raya paling popular sepanjang zaman, Menjelang Hari Raya dinyanyikan DJ Dave. Barangkali generasi sekarang tidak mengetahui bahawa Dave kini dikenali dengan nama Islam, Irwan Shah Abdullah.
Dia dahulunya menganut agama Hindu sebelum memilih untuk memeluk Islam pada akhir 1977. Rakaman lagu malar segar terbabit menjadi salah satu pendorong hatinya untuk memeluk agama Islam kerana keindahan lagu tersebut.
Menjelang Hari Raya sangat popular di Malaysia dan sering diputarkan setiap kali sambutan perayaan Aidilfitri tiba bagi membangkitkan suasana persiapan menyambut Syawal dalam kalangan masayarakat di negara ini.
Raya Raya Raya – Dolla

Merupakan single raya paling mencetuskan fenomena pada 2021, Raya Raya Raya dinyanyikan kumpulan Dolla yang dahulunya dianggotai empat orang wanita iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya.
Menariknya, Tabby atau nama sebenarnya, Tabhita Ariel Lam Lianne berbangsa Cina sementelah Angel atau nama lengkap, Angelina Chai Ka Ying berasal dari Sarawak yang juga berketurunan Cina.
Raya Raya Raya mencetuskan fenomena tersendiri yang dikeluarkan pada tahun 2021. Lagu ini sangat popular kerana rentaknya yang moden dan bertenaga.
Doa Di Hari Raya – Suki Low
Dinyanyikan penyanyi berketurunan Cina, Suki Low atau nama sebenarnya, Suki Low Sook Yee, Doa Di Hari Raya pantas meraih pujian daripada pendengar, bukan sahaja kerana melodi dan lirik tidak mengkhianati elemen ‘lama’ tetapi nyanyian merdu dan tidak pelat hadir daripada susuk bernama Suki Low.
Rata-rata peminat menyifatkan juara program realiti One In A Million itu sebagai antara penyanyi bukan berbangsa Melayu yang pandai beradaptasi dengan keadaan dan persekitaran. Doa Di Hari Raya didendangkan Suki bersama bandnya, Suki & Alun Nara.
Hari Raya – IamNeeta

Antem lagu raya dendangan IamNeeta bersama Najwa Latif, Mimie haris dan Deanna Hussin masih terngiang-ngiang di fikiran sehingga hari ini. Lagu raya yang dilancarkan pada tahun 2013 itu diterbitkan oleh NAR Records.
Dengan lirik bersahaja dan melodi mencengkam, karya tulisan Patrick Anohada itu bertemakan kegembiraan menyambut Aidilfitri, bermaaf-maafan, dan kemeriahan pulang ke kampung halaman.
Neeta atau nama lengkapnya, Neeta Manishaa Manogaran merupakan seorang penyanyi, pelakon dan pengacara wanita Malaysia. Beliau terkenal sebagai vokalis kumpulan iamNeeta yang meraih kejayaan menerusi single sulung mereka, Tuhan Tolong Aku. – HIBGLAM
