‘Tak tahan’ – Selebriti terkesan kenaikan harga minyak

LONJAKAN harga minyak akibat konflik antarabangsa kini menjadi realiti ngeri buat semua, termasuklah golongan selebriti di Malaysia.

Baru sehari harga bahan api naik mendadak, rata-rata artis meluahkan keluhan, terutama pengguna diesel dan RON97 apabila terpaksa berbelanja lebih tinggi setiap kali mengisi minyak kenderaan masing-masing.

Pengacara dan pelakon, Ain Edruce antara yang terkesan apabila berkongsi pengalaman mengisi minyak sehingga mencecah hampir RM400 bagi satu tangki penuh.

Tadi saya isi minyak diesel penuh, hampir RM400. Apa sebenarnya sedang berlaku? Pening kepala dibuatnya.

“Nampaknya kena fikir untuk beli kereta elektrik selepas ini. Memang tak tahan,” katanya dalam Instagram Story

Sementara itu, pelakon Sharnaaz Ahmad turut berseloroh meluahkan rasa ‘terbakar’ dengan kenaikan harga tersebut.

Sekarang memang tak cantik langsung. Kenderaan ini kuat ‘melantak’ diesel.

“Kalau tukar guna minyak dagu pun mungkin lebih murah,” selorohnya.

Perkongsian kedua-dua selebriti itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen apabila ramai turut berkongsi keresahan sama.

Memang terasa sekarang, isi minyak cepat sangat habis duit. Kalau artis yang duit banyak pun sesak, apatah lagi kami yang hanya rakyat biasa.

“Kalau guna diesel atau RON97 memang kena fikir banyak kali sebelum isi penuh,” tulis netizen.

Namun, ada juga berpendapat kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan memandangkan situasi global di luar kawalan negara.

Untuk rekod, harga RON95, RON97 dan diesel masing-masing meningkat kepada RM3.87, RM5.15 dan RM5.52 seliter bermula tengah malam kelmarin.

Bagaimanapun, RON95 bersubsidi (BUDI95) kekal pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut tidak berubah pada RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan memaklumkan konflik Asia Barat berlarutan menyebabkan harga minyak mentah global melonjak lebih 40 peratus sehingga melepasi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok