TIADA jodoh, pelakon Nadia Brian mengesahkan hubungan cintanya bersama usahawan sensasi, Nedim Nazri berakhir selepas dua bulan mengenali hati budi masing-masing.
Ujar Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 35, perpisahan itu berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sekali gus memilih untuk reda dengan ketentuan Ilahi.
“Ya, betul. Tiada apa hendak disorokkan, kami berpisah secara baik. Saya pun sudah ‘move on’. Kita hidup atas ketentuan Allah, semua berlaku atas kehendak-Nya.
“Perasaan sedih itu lumrah, tetapi tidak boleh terlalu lama. Bagi saya, semua ini proses dalam kehidupan. Saya doakan terbaik untuk dia dan begitu juga sebaliknya.
“Sekarang saya fokus kepada kerjaya seperti biasa dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Ditanya sama ada kegagalan tersebut memberi kesan sehingga trauma untuk bercinta lagi, pelakon drama Bisik Asmara itu menegaskan masih terbuka untuk mengenali hati budi seseorang pada masa hadapan.
“Dalam hidup ini, setiap perkara ada jalannya sendiri. Walaupun sekarang saya kembali solo, saya tidak akan serik untuk bercinta.
“Saya tidak rasa trauma, cuma kalau boleh tidak mahu lagi melalui perkara sama. Lagipun hubungan ini baru sahaja dua bulan, sekadar perkenalan, bukan perkahwinan,” ujarnya.
Paling penting kata Nadia, dia berharap peminat terus mendoakan kebahagiaannya selain memberi ruang untuknya meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.
“Saya tahu ramai terkejut sebab sebelum ini saya jarang berkongsi soal hubungan. Saya harap semua doakan perkara baik untuk saya.
“Insya-Allah, pasti ada jodoh terbaik buat saya suatu hari nanti. Buat masa ini, fokus saya kepada keluarga, kerjaya, rakan serta peminat yang sentiasa menyokong,” luahnya.
Sebelum ini, hubungan Nadia dan Nedim mula menjadi perhatian sejak hujung tahun lalu apabila kedua-duanya dilihat berkongsi momen mesra dalam Instagram.
Malah pada Disember lalu, pasangan itu mencuri perhatian ramai selepas memuat naik foto bersama, selain Nadia pernah menyifatkan Nedim memiliki ciri lelaki idamannya iaitu penyayang.
Namun, selepas dua bulan menjadi bualan hangat, hubungan mereka dipercayai berakhir apabila kedua-duanya tidak lagi saling mengikuti akaun masing-masing dalam media sosial. – HIBGLAM.
