BAKAL mengadakan konsert di China esok, buat pertama kali penyanyi Shila Amzah meraikan 1 Syawal bersama suami dan dua anak mereka di luar negara.
Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, mengakui kini dalam ‘panic mode’ apabila akan merasai suasana hari raya yang berbeza di perantauan.
“Ini pertama kali kami sekeluarga termasuk anak-anak akan beraya di Shanghai. Dua minggu ini saya habiskan masa bersama keluarga sebelum berangkat ke China.
“Doakan konsert saya berjalan lancar.
Itulah, gementar juga bawa anak-anak,” katanya dalam hantaran Instagram.
Begitupun, isteri kepada pempengaruh, Ubai itu juga teruja merasai pengalaman baharu apabila suaminya akan merakam vlog sepanjang tempoh mereka berada di sana.
Akui penyanyi lagu Masih Aku Cinta itu, dia turut membawa beberapa pasang baju kurung serta persalinan raya buat seisi keluarga.
“Baju raya memang bawa. Bila lagi nak ‘kami dari perantauan ingin mengucapkan, selamat…’,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Shila baru menjayakan konsert jelajah di beberapa bandar raya di China iaitu Chengdu, Guangzhou, serta Nanjing.
Popularitinya di negara tembok besar itu kekal kukuh, malah lagu Mandarin nyanyiannya, Dao Shu Shui Ai Wo, turut mencatatkan rekod luar biasa dengan lebih 800 juta penstriman. – HIBGLAM
