SELAMAT menjalani pembedahan berikutan masalah hernia atau angin pasang, Raja Pop Jamal Abdillah, 67, dijangka berehat selama dua minggu sebelum kembali bekerja.
Isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 29, berkata, prosedur yang berlangsung sekitar dua jam di sebuah pusat perubatan swasta di Pulau Pinang itu berjalan lancar malah suaminya sudah boleh berjalan.
“Alhamdulillah. Datuk (Jamal) keluar dari bilik pembedahan tadi pukul 1 petang. Kiranya semua prosedur berjalan lancar, manakala keadaannya juga stabil.
“Selepas beberapa jam dia dah mula berjalan. Menurut doktor, dalam tempoh dua minggu juga dia kena berehat agar cepat sembuh.
“Saya difahamkan dalam proses rawatan tadi pakar menebuk tiga lubang pada bahagian atas perut. Jadi memang perlu sembuh betul-betul sebelum boleh naik pentas,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Mengenai beberapa persembahan pada 1 Syawal serta hari berikutnya yang sudah dipersetujui awal, akui Zai Izzati semua pihak berkaitan sudah dimaklumkan dengan keadaan kesihatan penyanyi terbabit.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi sulit ini. Akibat faktor kesihatan, abang tidak dapat muncul di beberapa acara dalam tempoh terdekat. Mujur pihak terbabit faham selain turut mendoakan kesembuhannya.
“Sebenarnya masalah hernia ini dikesan beberapa minggu lalu selepas dia mula rasa sakit. Selepas rujuk pakar, rawatan ini terus dijalankan segera.
“Kebetulan saya dan anak-anak ikut ke sini (Pulau Pinang) kerana abang mengadakan persembahan dan sepatutnya kami terus balik KL (Kuala Lumpur) memandangkan ada show raya nanti,” ujarnya.
Mengenai sambutan Syawal, selepas keluar hospital mereka akan ke Kulim, Kedah iaitu kampung sebelah keluarganya.
“Sekarang anak-anak dijaga ibu saya di Kulim kerana saya menemani suami di hospital. Setakat ini doktor belum maklumkan tarikh balik.
“Jika tiada aral kami akan beraya di Kulim sehingga Ahad. Kita tengok keadaan abang dulu sama ada dia boleh tempuh perjalanan panjang untuk pulang ke KL. Insya-Allah awal bulan depan abang dah boleh penuhi undangan pentas,” katanya. – HIBGLAM
