Filem pendek ‘Tak Terjawab’ gandingkan Anna Jobling, TPM

FILEM pendek sempena Syawal 2026 berjudul Tak Terjawab yang menggandingkan Anna Jobling, Julia Farhana dan Muhsin Nadzli sarat emosi dengan naratif menjentik perasaan.

Diterbitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), paparan tentang kehilangan, mencari makna hidup dan menjaga hubungan sesama insan membawa erti besar terhadap kelestarian hidup masyarakat Malaysia.

Lebih istimewa, Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Petra, Datuk Fadillah Yusof turut muncul bersama aksi penuh keikhlasan.

Turut menjayakan karya ini adalah barisan pemimpin, pegawai atasan agensi serta pihak berkaitan sekali gus membawa sentuhan kemanusiaan kepada plot diketengahkan.

Penyatuan tokoh dan agensi utama dalam ekosistem Petra turut mencerminkan komitmen keseluruhan kementerian dalam memajukan amalan kelestarian.

Kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, ia memperkukuh usaha berterusan mereka dalam menyemai nilai penjimatan tenaga melalui cara yang dekat di hati.

Cerita berkisar mengenai kehidupan harian insan yang hidup bermasyarakat dan secara halus itu mengetengahkan kepentingan pilihan gaya hidup lestari dan peka terhadap tenaga.

Tak Terjawab hakikatnya selaku jambatan yang meterjemahkan bahasa dasar kepada bentuk lebih mudah difahami dan dekat dengan khalayak.

Sementara itu, penulis skrip filem, Ayu Syuhara berkata dia ingin memastikan filem ini bukan sekadar menghiburkan, bahkan mampu menyampaikan mesej mendalam berkaitan jiwa manusia serta tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Kami mahu Tak Terjawab memberi kesan pada pelbagai tahap. Ia adalah kisah tentang jiwa manusia juga mengenai tanggungjawab kolektif kita terhadap alam sekitar dan sumber yang dikongsi bersama.

“Dengan menampilkan kepimpinan kami dalam watak-watak yang dekat dengan masyarakat, kami berharap dapat merapatkan jurang antara dasar kerajaan dengan isi rumah di Malaysia, menjadikan kehidupan peka tenaga sebagai sebahagian semula jadi daripada nilai harian kita,” katanya.

Tak Terjawab kini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube, Facebook, dan Instagram Petra. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok