Pergi ke bazar, baca komen orang panggil ‘YB’ – Que Haidar

KEMUNCULAN semula Que Haidar dalam industri hiburan tanah air sejak tahun lalu mencetuskan fenomena baharu.

Bukan sahaja orang ramai yang merasai kehadirannya tetapi empunya badan juga mengakui berlaku perubahan luar biasa dalam kamus hidupnya.

Menurut Que atau nama penuhnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, dia berasakan dunianya ibarat berubah 180 darjah termasuk nama sering menjadi bahan bualan dan laporan berita sejak beberapa bulan lalu.

Namun, dia bersyukur fenomena yang dicetuskan bukan sahaja mengundang perhatian tetapi termasuk rezeki yang mencurah-curah.

“Sebenarnya saya tak pernah jangka ‘comeback’ saya dalam industri ini menjadi satu perkara yang besar.

“Zaman saya tarik ‘handbrake’ dulu, tiada media sosial dan sekarang, platform tersebut menjadi punca terbesar nama seorang Que Haidar kembali jadi bualan.

“Ditambah pula kerjaya seni sekarang memang banyak melibatkan media sosial, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih dan baru mengenali,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tak hanyut

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi filem Rock menyimpan tekad agar tidak hanyut dengan semua populariti dimilikinya ketika ini.

“Sebenarnya ada baik buruknya, malah saya sendiri pernah rasa terkejut dengan perhatian diberikan.

“Jadi, perlahan-lahan saya membiasakan diri dengan semua perhatian  terutama dalam media sosial hari ini.

“Namun, saya akan pastikan tidak sesekali terlalu hanyut dan leka dengan semua dimiliki hari ini. Paling penting sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan menjadi diri sendiri,” tutur bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

Selain pujian, dia anak kelahiran Kulai, Johor itu berusaha untuk tidak mengambil  hati dengan segala kata-kata negatif yang dilemparkan kepadanya dalam media sosial.

“Mana yang negatif saya cuba tidak ambil kisah. Saya tak akan sekat mana-mana akaun yang mengutuk sebab itu hak mereka.

“Sebenarnya susah nak buat orang suka dengan kita. Namun, sekarang bila orang tak suka, kita terus dapat komen negatif tersebut terus.

“Jadi, bagi menjaga perasaan dan kesihatan mental, saya abaikan serta fikir positif sahaja,” ujar Que, 46. 

Sempat ditanya tentang kehidupannya sepanjang bulan Ramadan tahun ini, dia terus menitipkan ucapan terima kasih kepada setiap individu yang sentiasa meraikannya di setiap lokasi dihadirinya.

“Saya pergi ke bazar Ramadan dan terima kasih kepada semua peniaga di situ sebab beri layanan yang baik untuk saya.

“Saya baca komen orang panggil ‘YB’ kemudian saya tengok video serta foto ketika pergi ke bazar tempoh hari, ‘iyalah, macam YB.

“Apa pun, terima kasih kepada semua yang melayan saya dengan baik dan ikhlas, undi saya!” katanya dalam nada seloroh.

Raya

Bercerita tentang persiapan raya yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi, dia berkata tidak memulakan sebarang perkara lagi.

“Persiapan raya? Saya tak sempat buat persiapan apa-apa lagi.

“Tapi seperti biasa, saya akan beraya di Felda Taib Andak, Kulai dengan sembilan adik-beradik lain.

“Kalau nak cerita tentang memasak dan sebagainya, saya serahkan semua itu kepada kakak-kakak. Paling saya tak sabar sebenarnya dapat berkumpul satu keluarga lengkap pada hari raya,” kongsinya.

Tambahnya, lumrah apabila berhimpun dengan adik-beradik, aktiviti wajib yang akan dilakukan adalah saling ‘bahan-membahan’ antara satu sama lain.

Bukan mengeluarkan sebarang kata-kata kesat sebaliknya, peluang membuka semula kenangan lama sekali gus memeriahkan suasana ketika melakukan persiapan hari raya.

“Kalau tanya tentang rutin, kami selalu bergosip tetapi tentang kisah silam masing-masing. Memang kelakar.

“Selalunya pada malam raya ketika semua sibuk bakar lemang dan masak bersama, kami akan mula mengimbau cerita lucu zaman kanak-kanak sebelum bermula sesi kutuk-mengutuk, memang kecoh,” katanya lagi.

Sebelum mengakhiri perbualan, dia juga sempat memberitahu memiliki lebih 40 pasang baju Melayu pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Jumlah tersebut disifatkan paling banyak pernah dimilikinya sepanjang bergelar anak seni.

“Tahun ini saya ada 46 baju raya yang pastinya jenama Jakel.

“Insya-Allah satu hari satu baju sehinggalah raya haji.

“Ini pengalaman paling banyak saya pernah saya ada baju Melayu, alhamdulillah,” tuturnya yang bakal muncul dengan filem Malaikat Malam yang mula ditayangkan pada hari raya keenam nanti.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok