0
GOLONGAN pempengaruh media sosial digalakkan untuk tidak lagi sekadar menjadi papan iklan produk pihak lain sebaliknya mula membina empayar perniagaan sendiri menerusi pelaksanaan Influencer Partnership Program (IPP).
Inisiatif yang diperkenalkan All Star Influencer Award (ASIA) bertujuan memberi peluang kepada golongan pempengaruh meghasilkan serta memasarkan produk jenama sendiri, sekali gus melahirkan usahawan muda yang lebih berdaya saing.
Pengerusi ASIA, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, sebelum ini kebanyakan pempengaruh hanya tertumpu kepada aktiviti mempromosikan atau membuat ulasan (review) produk milik orang lain.
“Melalui program ini, kami memilih pempengaruh yang berpotensi untuk menghasilkan dan menjual produk mereka sendiri.
“ASIA bertindak sebagai badan induk yang membantu dari segi pembangunan produk sehingga pemasaran. Apabila mereka mempunyai jenama sendiri, mereka dapat membina sumber kewangan yang lebih kukuh dan mampan.
“Keuntungan pula dikongsi bersama. Ini adalah usaha kami untuk membantu anak muda berani berniaga dan membina jenama sendiri,” katanya semasa Majlis Iftar ASIA bersama 40 anak yatim dan pelajar tahfiz yang turut dihadiri lebih 100 pempengaruh tempatan di ibu negara, baru-baru ini.
Abd. Rahman turut menjadikan kejayaan pempengaruh popular, Sally Whoo sebagai contoh inspirasi apabila jenamanya yang bermula dengan hanya dua produk kini berjaya menjana jualan mencecah jutaan ringgit.
“Rahsia kejayaannya adalah rajin mempromosikan produk sendiri termasuk aktif melakukan sesi siaran langsung bagi meningkatkan jualan.
“Program julung kali seumpamanya dilaksanakan ini adalah bagi membantu pempengaruh mengurus kewangan demi kestabilan hidup pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, ASIA merancang untuk memperluaskan pengaruhnya ke peringkat antarabangsa melibatkan lebih 20 negara Asia sejak tahun 2023.
Tahun lalu sahaja, program promosi digital yang dilaksanakan berjaya merekodkan lebih 1.3 bilion tontonan di TikTok selain kira-kira 600 juta tontonan di Instagram.
“Untuk tahun ini, kami memberi fokus membantu mempromosikan industri sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pelbagai program dan acara antarabangsa,” jelasnya.
Antara acara yang sedang dirangka termasuk penganjuran kejohanan tinju antarabangsa di Dubai yang melibatkan 10 negara pada 5 April ini, selain acara bola sepak persahabatan Malaysia-Indonesia dan kejohanan snuker.
Majlis berbuka puasa tersebut bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan sesama pempengaruh, malah menjadi medium untuk golongan itu berkongsi rezeki serta menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan anak yatim dan pelajar tahfiz. — HIBGLAM
