MENJADIKAN rakan karib sebagai contoh, pelakon Azhan Rani mendedahkan semangat jitu diri pengarah, Wan Saiful Shahrizan yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan sebagai penguat semangat ketika berhadapan ujian hidup.
Azhan, 50, berkata insan yang sudah dianggap sebagai saudara sendiri itu sentiasa positif walaupun berdepan musibah yang menyebabkannya lumpuh dari paras pinggang hingga kaki tiga tahun lalu.
“Tarikh 16 Mac 2026, genap tiga tahun kisah sahabat saya yang sudah dianggap macam adik sendiri ini, Wan Saiful Shahrizan yang tidak pernah saya kongsikan perkara ini.
“Dia (Wan Saiful Shahrizan) motivasi terbaik yang selalu saya pinjam setiap kali ada ujian kecil yang melanda diri.
“Apabila ingatkan dia, saya akan anggap diri saya mengada-ngada saja kalau mahu mengeluh akan ujian Allah,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Terdahulu, keadaan fizikal lelaki terbabit berubah selepas mengalami kemalangan jalan raya pada 16 Mac 2023.
Wan Saiful Shahrizan cedera parah pada bahagian kaki selepas van produksi yang dinaikinya dalam perjalanan dari Rawang, Selangor ke Perlis membuat tinjauan lokasi penggambaran filem terlibat dalam kemalangan.
Pengarah terbabit mengalami patah tulang belakang, patah peha kanan, patah rusuk kiri dan kanan dalam insiden di KM269 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.
Menerusi hantaran sama, Azhan berkata, rakannya itu tidak pernah mengeluh, sebaliknya bangkit dalam keadaan diri yang tidak seperti dulu.
“Dia punya semangat, subhanallah. Sepanjang saya menjenguknya, hanya sekali saja pernah nampak dia menangis. Itu pun, masa saya dan kawan-kawan bantu mandikannya di hospital dulu.
“Selebihnya dia tenang. Tidak pernah saya dengar dia salahkan takdir, merintih atau meroyan. Pendek cerita, Allah beri keajaiban kepada dia.
“Walaupun masih belum berjalan, tapi perlahan-lahan sekarang dia sudah ada rasa pada kaki dan sudah kembali mengarah atas kerusi roda, termasuk memandu kereta,” ujarnya.
Pada masa sama, pelakon drama bersiri Nur itu turut menzahirkan penghargaan kepada Wan Saiful Shahrizan yang meminjamkan semangat buatnya.
Sementara itu, Wan Saiful Shahrizan menerusi ruangan komen menyatakan dia sentiasa bersyukur kerana terlalu banyak nikmat yang Allah berikan kepadanya. – HIBGLAM
