‘Tak payah terpaling ke cara lama, industri tak besar mana’

PELAKON Che Puan Sarimah Ibrahim menyelar tindakan segelintir pihak yang mempertikai mengenai kualiti dan jalan cerita drama tempatan hari ini.

Menurut Sarimah, 48, setiap naskhah mempunyai keistimewaan tersendiri, mengikut zaman dan tidak sepatutnya menyatakan mahu kembali ke cara penghasilan atau jalan cerita yang lama.

“Saya nak luahkan sesuatu yang sudah lama simpan lama. Kepada mereka yang kata drama-drama tempatan tiada pengajaran atau keaslian.

“Tolong jangan menghentam industri tempatan, kita tidak besar mana pun dan sedang cuba buat yang terbaik dengan kemampuan yang ada, sebagai satu pasukan.

“Tak payah jadi terpaling ‘nak kembali ke cara lama’ atau ‘lebih baik begini dari begitu’. Bila dapat lemon, kita cuba buat lemonade, okey?” katanya dalam platform Threads.

Tambahnya, setiap drama yang dihasilkan mempunyai isi dan pengajaran tersendiri.

“Drama-drama ini bukan sekadar hiburan kosong sebaliknya mencerminkan realiti hidup dan emosi sebenar yang dilalui ramai orang.

“Bagi sesetengah orang, inilah cara mereka memproses dan menghadapi kesakitan.

“Tak payah juga jadi terpaling ‘fed up’. Rating tak pernah menipu dan setiap orang ada selera sendiri. Tidak perlu kalau semua benda kena ada ‘Netflix vibe’.

“Semua ini bukan hitam putih, industri kita adalah campuran produksi moden yang penceritaannya sangat dekat dengan budaya tempatan. Kepelbagaian itu penting,” katanya lagi.

Dalam masa sama dia juga meminta orang ramai menghayati setiap mesej yang mahu disampaikan menerusi drama terbaharu lakonannya sebagai wanita penyondol, Bila Cinta Menjadi Dosa yang ditayangkan menerusi slot Lestary TV3.

“Mungkin, cubalah tonton sampai habis, bukan sekadar potongan pendek.

“Baru boleh faham apa mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan,” ujarnya.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan hantaran tersebut ditujukan kepada mana-mana pihak.

Semalam, pelakon Reen Rahim meluahkan rasa bosan dengan mendakwa jalan cerita drama tempatan berulang kali mengetengahkan jalan cerita sama iaitu wanita penyondol atau lelaki tiada prinsip. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok