Menteri jamin bekalan daging, ayam cukup raya kali ini

PERTUBUHAN Peladang Kebangsaan (Nafas) menganjurkan majlis berbuka puasa yang turut menyaksikan badan terbabit menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersempena Ramadan.

Pada acara terbabit, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan, bekalan daging dan ayam mencukupi bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Semua mencukupi. Jangan buat pembelian panik. Ertinya kalau berniat nak beli empat ekor (ayam), biarlah empat ekor. Tak payahlah buat pembelian panik kerana bekalan mencukupi sampai bulan lima atau bulan enam (tahun) ini.

“(Bekalan) masih dalam keadaan stabil insya-Allah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya memetik laporan Kosmo! Online. 

Mohamad berkata, harga barangan masih lagi kekal dan tidak akan mengalami kenaikan walaupun berlaku peperangan di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Bagaimanapun katanya, harga barangan itu berkemungkinan akan mengalami kenaikan dalam masa tiga atau empat bulan akan datang.

Ini disebabkan apabila harga petrol naik, kita akan lihat kenaikan harga semua ini. Kesannya mungkin dalam tiga empat bulan lagi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan membuat pemantauan terhadap kenaikan harga barangan itu dari masa ke masa.

“Kita juga akan ambil pandangan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF) dan semua yang terlibat.

Ini disebabkan barang yang ada sekarang ini adalah barang yang disediakan dulu. Jadi kesan perang ini mungkin akan dirasai tiga bulan lagi,” katanya.

Nafas turut mengumumkan agihan dividen tertinggi berjumlah RM21,002,941 bagi tahun kewangan 2024 iaitu jumlah tertinggi sejak penubuhan organisasi itu pada 1972.
Agihan tersebut melibatkan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) selain memberi manfaat kepada rangkaian 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara serta lebih 400,000 ahli peladang. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok