‘Kami tak pernah halang pekerja tunaikan solat Jumaat’

SUSULAN kontroversi hangat di media sosial, pengasas Gula Cakery dikenali sebagai Arieni Ritzal tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan syarikatnya melarang pekerja menunaikan solat Jumaat.

Menurut Arieni, tuduhan tersebut tidak berasas dan disifatkan sebagai satu fitnah yang memberi kesan besar terhadap reputasi syarikat.

“Saya ingin tegaskan, kami tidak pernah menghalang pekerja menunaikan solat Jumaat. Tiada arahan, sama ada lisan atau bertulis, yang melarang perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kekeliruan

Arieni menjelaskan, kekeliruan timbul apabila tindakan syarikat terhadap seorang bekas pekerja disalah tafsir. 

Individu berkenaan, yang masih dalam tempoh percubaan, didakwa tidak hadir bekerja selama tiga hari tanpa sebarang makluman (MIA), sebelum kes dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Menurutnya, dalam sesi mediasi, individu tersebut mengakui ketidakhadiran tanpa notis, yang merupakan pelanggaran kontrak di bawah Akta Kerja.

“Tindakan kami di JTK adalah prosedur biasa. Ini soal disiplin kerja, bukan soal ibadah seperti yang digambarkan,” jelasnya.

Bekas pekerja tersebut kemudiannya diperintahkan membayar RM2,000 sebagai ganti notis.

Mengulas lanjut, Arieni menyifatkan dakwaan larangan solat sebagai isu paling berat dan menggores hati pihak pengurusan.

Sebagai perniagaan milik orang Islam, Arieni menegaskan bahawa Gula Cakery sentiasa mengutamakan keberkatan dalam mencari rezeki.

Jika ada kekangan operasi, kami gunakan sistem rotation supaya pekerja tetap boleh menunaikan solat. Tuduhan ini sangat tidak benar,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menjawab dakwaan lain melibatkan isu kebajikan pekerja termasuk kebersihan, SOCSO serta pengurusan pekerja asing.

Patuh undang-undang

Menurutnya, semua perkara tersebut mematuhi undang-undang dan dokumen berkaitan telah disediakan untuk sesi perbicaraan seterusnya pada 28 April 2026.

Dalam pada itu, Arieni turut mendedahkan wujudnya ancaman laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) dan Imigresen sebagai tekanan untuk menarik balik kes di JTK.

“Kami tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Arieni mengambil pendekatan lebih berhemah dengan menarik semula tuntutan bayaran RM2,000 terhadap individu tersebut.

“Dalam bulan Ramadan ini, kami pilih untuk berlapang dada dan tidak meneruskan tuntutan tersebut,” katanya.

Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat kenyataan sebelum ini yang menimbulkan salah faham, selain menegaskan komitmen syarikat untuk terus memperbaiki kelemahan.

Areini  berharap penjelasan ini dapat menghentikan spekulasi serta memberi gambaran sebenar kepada masyarakat.

Kami hanya mahu terus bekerja dengan tenang dan mencari rezeki yang diberkati,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok