Michael B. Jordan, Jessie Buckley Aktor, Aktres Terbaik Oscar 

MENEPATI ramalan, bintang Hollywood Michael B. Jordan diumumkan sebagai pemenang kategori Aktor Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) edisi ke-98.
Menerusi naskhah Sinners arahan Ryan Coogler, Jordan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon pertama memenangi Oscar melalui watak berganda iaitu pasangan kembar seiras, Elijah ‘Smoke’ dan Elias ‘Stack’ Moore.
Tuhan itu baik,” katanya ringkas di atas pentas sambil memberikan penghormatan kepada ibunya serta ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.
Dalam kategori tersebut, Jordan mengetepikan saingan sengit daripada beberapa nama besar termasuk Leonardo DiCaprio menerusi filem One Battle After Another, Timothee Chalamet (Marty Supreme), Ethan Hawke (Blue Moon) dan Wagner Moura (The Secret Agent).
Kemenangan Jordan itu sekali gus meletakkannya dalam senarai pelakon kulit hitam yang pernah menggondol trofi utama berkenaan, mengikut jejak langkah legenda seperti Sidney Poitier, Denzel Washington dan Forest Whitaker.
Jordan turut menzahirkan penghargaan buat Coogler yang dianggap sebagai sahabat dan kolaborator penting dalam kariernya.
“Saya sangat dihormati dapat memanggil awak sebagai sahabat yang memberi saya peluang dan ruang untuk dilihat dalam industri ini,” ujarnya.
Sementara itu, pentas Oscar turut menyaksikan sejarah tercipta buat negara Ireland apabila aktres Jessie Buckley, 36, dinobatkan sebagai pemenang kategori Aktres Terbaik menerusi filem Hamnet.
Kejayaan tersebut menjadikan Buckley sebagai pelakon wanita pertama dari Ireland yang memenangi kategori utama tersebut, menewaskan pencabar hebat lain seperti Emma Stone (Bugonia), Rose Byrne (If I Had Legs I’d Kick You), Kate Hudson (Song Sung Blue) dan Renate Reinsve (Sentimental Value).
Dalam filem Hamnet arahan Chloe Zhao, Buckley mempamerkan lakonan berkesan sebagai Agnes Shakespeare, iaitu isteri kepada penulis drama terkenal, William Shakespeare.
Terima kasih kepada wanita-wanita luar biasa yang berada di sebelah saya. Saya sangat diilhamkan seni dan hati kalian,” katanya ketika menerima trofi.
Buckley turut berkongsi rasa terharu apabila kerajaan Ireland menanggung kos penerbangan keluarganya untuk hadir ke majlis tersebut, selain menitipkan penghargaan buat bapanya yang sentiasa menasihatinya agar terus mengejar impian tanpa memedulikan tanggapan negatif orang lain.
Sebelum mengungguli pentas Oscar, Buckley telah menyapu bersih kategori serupa pada musim anugerah tahun ini termasuk di BAFTA, Golden Globe dan Critics’ Choice Awards. – HIBGLAM
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok