‘Masya-Allah, saya terkejut’ – Badal umrah buat anak arwah Andre

“KEBAIKAN apa arwah Andre Mikhail lakukan yang saya sendiri tidak tahu sehingga ramai buat kebaikan untuknya sehingga hari ini?”

Pelakon Amyza Aznan tidak dapat menahan sebak apabila terdapat individu tidak dikenali melakukan badal umrah buat anaknya, Allahyarham Andre Mikhail Khairil Idzhar, 20, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap tiga 23 Februari lalu.

Menurut Amyza, 50, perkara tersebut dimaklumkan pelakon yang juga rakan baiknya, Didie Alias beberapa hari selepas Andre menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur.

“Sebenarnya saya tidak kenal pun individu buat badal umrah buat arwah Andre. Didie maklumkan ada hamba Allah mahu buat badal umrah dan dia minta izin serta beberapa minta maklumat seperti nama penuh.

“Masya-Allah, saya terkejut dan beritahu lakukan sahaja, tidak perlu minta izin sebab bukan perkara salah pun.

“Hamba Allah itu sudah berada di sana (Tanah Suci) dan maklumkan dia sudah buatkan badal umrah untuk arwah Andre, alhamdulillah,” katanya kepada HibGlam pada majlis berbuka puasa dan Konsert Ijmal Cinta Ramadan di Saloma Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Katanya, dia mengakui terkejut apabila ramai melahirkan hasrat untuk melakukan wakaf atas nama arwah anak sulungnya.

“Ramai yang wakafkan macam-macam atas nama Andre. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak

“Saya juga ada niat nak tunaikan badal haji pula untuk Andre dan sudah tanya ustaz. Insya-Allah, akan dilakukan tahun ini.

“Arwah anak yang tidak meminta-minta. Tidak pernah dia beritahu,’ mummy, hendak pergi ke sana sini’. Inilah yang saya usahakan untuk arwah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Amyza terkejut dengan pelbagai rezeki yang diterimanya sejak pemergian Andre.

“Andre adalah anak yang taat dan soleh. Dia sentiasa lakukan kebaikan ketika bernyawa sehinggalah tidak bernyawa, dia tetap berbakti untuk keluarga melalui rezeki yang orang beri ketika ini.

“Dia bukan hanya beri kepada saya tetapi juga ahli keluarga lain dan kawan-kawan saya.

“Dia buka jalan untuk rezeki kepada orang yang tidak dikenali. Saya tersentuh apabila ada orang tanya, apa agaknya amalan Andre yang menjadi rahsia antara dirinya dengan Allah?” tuturnya.

Akuinya, perkara tersebut membuatkannya mula mengenang setiap amal dan kebaikan yang pernah dilakukan Andre ketika masih hidup.

“Saya termenung dan seperti satu pukulan. Orang ramai dan menteri juga banyak membantu sedangkan Andre bukan siapa pun.

“Dia bukan artis dan jarang saya muat naik foto arwah dalam Instagram (IG),” ujarnya.

Terdahulu, jenazah Andre yang menghidap kanser paru-paru sejak tiga tahun lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada 24 Februari lalu.

Ujian buat Amyza tidak terhenti di situ apabila anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang pada hari pertama Ramadan lalu.

Difahamkan, Adrian kini sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok