PEMPENGARUH media sosial, Ameera Khan mengakui bapanya sering berasa kecewa dengan pilihan pasangan hidupnya sebelum ini namun tetap memilih untuk mendoakan yang baik-baik dan memberi sokongan.
Ujar Ameera atau nama sebenarnya Nur Ameera Abdul Halim Khan, 26, bapanya meletakkan standard sangat tinggi sehingga membuatkan dirinya sedar bahawa banyak keputusan yang dilakukannya sebelum ini adalah kurang bijak.
“Kalau saya ceritakan apa ayah cakap, mungkin ramai terkejut. Cukuplah saya katakan dia selalu kecewa dengan pilihan saya.
“Namun ayah tetap berbuat baik. Insya-Allah saya akan buat pilihan lebih tepat pada masa depan.
“Ayah sudah menetapkan standard sangat tinggi, cuma saya sahaja yang pernah membuat keputusan kurang bijak,” katanya dalam Instagram Story.
Adik kepada selebriti Neelofa itu turut berkongsi pengalaman berada dalam hubungan tidak seimbang apabila dirinya sering memberi lebih daripada pasangan.
Saya pernah berada dalam situasi itu. Saya merancang banyak perkara, malah menanggung kebanyakan perbelanjaan.
“Saya juga sering meminta maaf walaupun bukan salah saya, membantu pasangan berkembang dan memberi keyakinan, tetapi tidak menerima perkara sama sebagai balasan.
“Saya tidak mahu melalui keadaan itu lagi kerana saya terlalu baik dan terlalu mudah menyayangi seseorang,” ujarnya.
Tambah Ameera, pengalaman tersebut membuka matanya mengenai peranan sebenar seorang lelaki dalam hubungan.
“Bagi saya, peranan lelaki dalam hubungan bukan sekadar memberi nafkah.
“Saya mampu menyara diri sendiri, Alhamdulillah. Jadi saya tidak perlukan lelaki semata-mata untuk itu, tetapi tetaplah memanjakan saya kerana saya menyukainya.
“Seorang lelaki sepatutnya membuat pasangan rasa selamat, stabil dan dihargai. Jika perkara itu tiada, jangan sesekali berkompromi,” jelasnya. – HIBGLAM
