0
TAMPIL dengan imej lebih tegap, pelakon Aniq Suhair teruja selepas berjaya mencapai bentuk badan yang diimpikannya sejak sekian lama.
Aniq atau nama lengkapnya Aniq Suhairi Mohd. Salleh, 26, mengakui transformasi fizikal tersebut dilakukan sebagai persediaan untuk menggalas tanggungjawab bagi watak-watak berat serta karakter utama dalam naskhah lakonannya.
Saya sangat gembira dengan kesihatan dan penampilan badan sekarang sebab inilah impian saya teringin nak capai.
“Bila dah mula main watak berat atau karakter utama, saya perlu berbadan besar, dulu saya kecil.
“Bagi saya bukan mudah untuk dapatkan karakter sahaja tapi buat saya lebih yakin dan selesa,” katanya kepada HibGlam pada sidang Together Gather dan Iftar, baru-baru ini.
Tambah bekas peserta Hero Remaja itu lagi, saiz badan yang lebih berisi sebenarnya lebih serasi dengan raut wajahnya.
“Untuk penampilan dan wajah saya lebih sesuai dengan badan lebih besar.
“Saya selesa dan gembira begini walaupun perut buncit sikit tapi alhamdulillah,” katanya lagi.
Ditanya rutin yang dilakukan untuk menaikkan 13 kilogram dalam tempoh enam bulan, Aniq mengamalkan teknik pemakanan yang drastik iaitu dirty bulk selain bersenam.
“Saya makan dan buat senaman. Saya makan sahaja semua benda dan amalkan ‘dirty bulk’.
Walaupun tak bagus tapi itulah salah satu cara yang boleh naikkan berat badan saya,” ujarnya.
Dia juga berkongsi reaksi orang sekeliling yang turut gembira dengan transformasi badannya.
“Orang terkejut dan tak sangka, tapi mereka gembira untuk saya,” tuturnya. – HIBGLAM
