TEKA TEKI mengenai status perkahwinan pelakon yang juga Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz terjawab selepas kedua-duanya mendedahkan, perkahwinan mereka selama enam tahun sudah berakhir.
Pendedahan dibuat dalam sidang media yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara semalam.
Menurut Nilam, dia kini sudah tamat menjalani tempoh idah namun enggan mendedahkan tarikh perceraian dengan Azlan.
“Bagi mengelakkan fitnah, kami perlu membuat pengumuman tentang perceraian kami. Tetapi bila tarikh kami bercerai dan sebab kami bercerai biarlah saya dan Azlan sahaja yang tahu.
“Kami tidak bergaduh kerana kami masing-masing mempunyai anak. Kami sepakat untuk membesarkan anak-anak bersama,” katanya.
Tambah Nilam hubungan antara Azlan dan anak mereka, Leon yang kini berusia lima bulan, akan terus dipelihara dengan baik.
“Azlan tetap ayah kepada Leon. Saya tidak mahu hubungan mereka terjejas hanya kerana persepsi atau cerita kurang baik yang beredar. Kami masing-masing sudah melangkah ke hadapan dan kini beri fokus kepada kehidupan serta tanggungjawab yang ada,” ujarnya
Sementara itu kata Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran, 50, perceraiannya dengan Nilam bukanlah disebabkan orang ketiga seperti yang didakwa netizen.
“Saya faham orang pasti akan cakap kami bercerai disebabkan oleh orang ketiga kerana mereka sudah dimomokkan dengan cerita sebegitu. Tetapi saya tak boleh nak tutup mulut orang.
“Dalam tempoh idah kami ada juga usaha untuk kembali rujuk, namun nampaknya memang jodoh kami sampai di sini sahaja,” jelasnya. – HIBGLAM
Terdahulu hantaran Nilam dalam media sosial mencetuskan spekulasi bahawa dia sudah bercerai dengan Azlan apabila mendedahkan dia akan teruskan kehidupannya bersama anak-anak. -HIBGLAM
