‘RM500 untuk 5 hari ‘shooting’, rendah sekali tawarannya’

PERNAH ditawarkan bayaran RM500 untuk lima hari penggambaran, dramatis senior Farid Amirul Hisham Wu Abdullah terkilan apabila masih ada penggiat industri seni sendiri menilai bakat lakonannya serendah itu.

Aktor berusia 61 tahun itu berkata, dia bukan meletak harga tinggi, sebaliknya berharap biarlah hasil kerja dan keringat dibayar setimpal apatah lagi watak diajukan membabitkan 38 babak, selain lokasi penggambaran pula di luar Kuala Lumpur, iaitu Perak.

“Tak sesekali saya minta bayaran besar, cuma pihak terbabit perlu realistik kerana bayaran RM500 yang ditawarkan itu turut meliputi kos pengangkutan termasuk minyak dan tol.

“Wakil produksi yang hubungi saya turut maklumkan pihak mereka hanya menyediakan sarapan dan makan malam, jadi kalau dihitung kiranya sehari tak sampai RM100 pun sehari gaji saya.

“Saya tertanya-tanya juga kenapa begitu rendah sekali bayaran yang ditawarkan, tapi saya fikir positif selain anggap Allah sedang uji saya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan hari raya Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) kepada artis veteran, baru-baru ini.

Pelakon drama bersiri Gerak Khas yang popular dengan watak Detekif Lim itu berkata, dia memilih untuk bertenang dan menolak pelawaan tersebut dengan baik.

Akuinya, mujur dia mempunyai pekerjaan tetap sebagai pengurus promosi dan pemasaran di sebuah gedung permaidani sejak lima tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya mempunyai karier sebagai mata pencarian utama. Jadi tidak terdesak. Kalau terima pun susah juga sebab memang saya ‘kacau market’.

“Selepas itu baru saya faham perasaan rakan seperjuangan lain yang pernah melalui situasi serupa. Harapnya produksi hargailah orang lama. Pelakon veteran pun bagi sumbangan kepada sesebuah produksi.

“Janganlah juga nilai seseorang pelakon itu pada jumlah pengikut laman sosial sahaja,” ujarnya.

Mula terbabit dalam arena lakonan sekitar tahun 1986, Farid juga pernah duduk di kerusi pengarah terutama ketika bekerja bersama Skop Production.

Antara filem lakonannya adalah Panggilan Pulau, Jibon, Bara, Leftenan Adnan, Pasrah, Gerak Khas The Movie, Kayangan serta MX3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok