‘Rasanya tak salah orang bukan Islam berpuasa’

MASIH dalam fasa belajar berpuasa, pempengaruh dan pelakon, Mekyun berasakan tidak salah seseorang individu melakukan amalan baik penganut agama lain asalkan tahu adab.

Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 29, berkata setakat ini pilihannya untuk sama-sama merasai pengalaman berpuasa di bulan Ramadan dengan keluarga meraih sokongan ramai.

“Secara peribadi saya rasa tak salah untuk seseorang yang bukan beragama Islam nak cuba berpuasa, asalkan jaga adab serta jangan melanggar akidah umat Islam.

‘Itu yang saya percaya. Saya juga ada ramai anggota keluarga serta kenalan beragama Islam di Kelantan. Kiranya saya sudah biasa dan pada masa sama kena hormati adab berpuasa.

“Pengikut saya di media sosial pula sangat memahami selain turut memberikan sepenuh sokongan serta kongsi banyak tips,” katanya ketika ditemui pada program Melodi Glam Raya Runaway di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), baru-baru ini.

Pada masa sama, wanita Tionghua asal Kelantan itu mengakui kali ini hanya mampu berpuasa beberapa hari sahaja berikutan kekangan kerja

“Sejujurnya saya tidak dapat berpuasa penuh setiap hari tetapi tetap cuba bertahan seperti pada hari pertama puasa. Saya berjaya cekalkan hati sampai waktu berbuka.

“Puasa bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, bahkan turut mendidik kita untuk bersabar. Setakat ini saya sudah puasa sebanyak tiga kali.

Sementara itu, mengenai pembabitan dengan program terbabit, kata Mekyun dia teruja dilantik sebagai Duta Kandungan jenama terbabit pada musim kali ini.

Terdahulu, Melodi Glam Raya Runway menjadi tumpuan ramai apabila pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT menghidupkan suasana sepanjang perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama hingga TRX.

Kemeriahan acara bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob yang diterajui bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok