Rasa sakit ini akan saya bawa sampai mati – Amyza Aznan

BENARLAH, kehilangan paling pedih yang enggan dilalui mana-mana manusia di muka bumi adalah kematian keluarga sendiri. Rasa pilu dan kesedihan yang menimpa takkan mampu digambarkan dengan apa cara sekali pun.

Lebih menyakitkan, apabila seorang ibu perlu berdepan fasa paling memeritkan iaitu anak tersayang ‘pergi’ dahulu menghadap Ilahi.

Pedih dan kelatnya bagai mencekik, bergumpal-gumpal dicelah kerongkong namun harus juga ditelan pemilik sepotong nama, Amyza Aznan pada 23 Februari lalu apabila putera sulungnya, Andre Mikhail dijemput Ilahi akibat kanser paru-paru.

Ibu mana yang mahu melihat anaknya ‘pergi’ dahulu tetapi takdir Tuhan, tiada siapa mampu menidakkan.

Makin menambah duka, anak keduanya, Adrian Adam juga disahkan mengidap kanser tulang pada hari pertama Ramadan baru-baru ini.

Tak terbayang, kekuatan

Masih berada dalam fasa memujuk hati menerima kehilangan dan realiti tersebut dengan reda, aktres berusia 49 tahun itu mengakui pemergian Andre membuatkan hidupnya seperti kehilangan makna, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ibu mana yang sanggup melihat anaknya ‘pergi’ dulu? Sebagai seorang ibu, saya tak pernah terfikir pun akan melalui fasa paling menyakitkan ini.

“Sakitnya hanya mereka yang hadap saja faham. Menangis, meraung itu semua saya lalui,” katanya kepada HibGlam.

IBARAT tangisan dalam reda, buat masa ini, Amyza mengakui tangisannya bukanlah bermakna meratap mempersoalkan takdir Ilahi, tetapi antara cara melegakan emosi lara.

Lebih menambahkan rasa sakit tersebut, dia sebelum ini melihat anak-anaknya sentiasa dalam keadaan sihat tetapi setelah Andre dan Adrian didiagnos mempunyai kanser, kehidupan gelap seperti hilang cahaya.

“Orang lihat saya selalu positif, hakikatnya saya perlu paksa diri untuk nampak begitu.

“Sebelum ini anak-anak saya nampak sihat dan tak terlintas sedikit pun mereka akan ada penyakit.

Rasa sakit ini saya akan bawa sampai mati, selagi hayat dikandung badan,” ujarnya sebak.

Sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada mempersoalkan punca kewujudan sel barah dalam badan dua anaknya yang mengamalkan gaya hidup sihat sebelum ini.

“Kehadiran tak diundang, penyakit ini memang menjadi tanda tanya sebab Adrian memang ambil makanan sihat dan selalu amalkan puasa sunat.

Dia juga aktif, tak tidur lambat tetapi akhirnya ada kanser. Nak kata stres, macam tidak sebab saya adalah seorang ibu yang kuat bergurau dan layan anak-anak memang macam kawan.

“Namun, kami ketika ini perlahan-lahan mencari kekuatan dan belajar berdamai dengan takdir tetapi dalam masa ikhtiar menyembuhkan penyakitnya,” katanya lagi.

Hidup mesti diteruskan dan itu antara sebab dirinya masih mampu tersenyum dan mendapat kekuatan untuk kembali bangkit daripada terus ditimbus rasa duka.

Sejujurnya saya masih belum bersedia pun nak jumpa orang tetapi gagahkan diri juga sebab ramai yang masih sayang dan ambil berat pada kami sekeluarga.

“Kalau orang tanya kekuatan, sebenarnya benda itu sekejap hilang, sekejap muncul.

“Cuma saya pegang kata-kata orang, jangan terlampau ikut perasaan sedih dan sebagainya, bimbang akan memudaratkan diri kelak,” ujarnya lagi.

Menangis

Dramatis yang popular menerusi drama Rindu Kasih itu mengakui, menangis menjadi antara caranya melepaskan rasa rindu dan sedih dengan semua yang berlaku ketika ini.

“Saya usaha untuk tidak melayan sangat perasaan tetapi bila sudah tak tahan, menangis sahaja caranya.

Menangis saja yang boleh buat saya rasa lega sebentar, kemudian bangkit semula.

“Bagi saya rasa sedih itu tak salah pun, menangislah sepuas-puasnya selagi tidak merosakkan diri sendiri,” kongsinya.

Dia juga sempat memberitahu Adrian, bahawa tidak salah untuk menangis dan berhenti menyorokkan emosi sekiranya bersedih.

Dalam masa sama, Amyza berkata, menziarahi pusara Andre setiap hari juga adalah satu cara menenangkan jiwa laranya.

“Setiap kali saya pergi ke kubur, rasa tenang.

Saya rasa itu salah satu cara untuk ‘healing’ diri dengan pergi kubur, setiap petang,” katanya.

Bukan sahaja ke kubur, dia juga tanpa lelah atau tidak pernah terlepas walau sehari untuk menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada nombor telefon bimbit Andre meski tahu tak akan pernah berbalas.

Kadang-kadang saya berborak dengan dia, WhatsApp Andre setiap hari seperti ‘assalamualaikum Andre, al-Fatihah’.

“Sekurang-kurangnya setiap kali bangun tidur, saya sedekahkan al-Fatihah untuk dia.

“Bukan saya nak meratap sedih tetapi itulah cara kita masing-masingkan untuk sembuhkan emosi,” katanya.

DALAM suasana hampir semua orang sedang membuat persiapan hari raya, Amyza dan keluarga masih dibungkus pilu. Baginya, Aidilfitri seperti sudah kehilangan seri, tidak bererti.

Sempat ditanya tentang sokongan rakan selebriti sepanjang berdepan fasa terendah dalam hidupnya, Amyza bersyukur dihadirkan ramai individu yang banyak membantu dan memberinya kekuatan

“Ya Allah, sejujurnya kalau kawan-kawan tiada terutama Didie Alias, memang saya akan sangat lemah dan lembik.

Terima kasih untuk semua kawan yang tak putus-putus ada. Baru saya tahu, rupa-rupanya mereka sayang juga pada saya.

“Saya harap dan doa perkara yang menyedihkan ini tak terjadi kepada kalian semua,” tuturnya.

Aidilfitri rasa ‘kosong’

Ditanya persediaan dirinya untuk meraikan hari raya tanpa susuk anak sulungnya, Amyza masih tiada jawapan.

“Raya kali ini seperti tiada makna langsung. Benar saya masih ada dua lagi anak yang perlu diberi fokus dan gembirakan pada hari raya tetapi saya tak boleh nak tipu kesedihan tersebut.

Saya sendiri tidak tahu keadaan emosi saya pada hari raya pertama, memang tak mampu untuk bayangkan pun,” ujarnya yang akan membuat kenduri tahlil di kampung halaman ibunya di Nilai, Negeri Sembilan pada 1 Syawal nanti.

Mengenang memori raya bersama Andre, dia berkata, anak sulungnya itu sangat menggemari kari ayam tua dan sambal sotong air tangannya.

“Dia suka semua masakan saya tetapi kari ayam dan sambal sotong memang kegemaran arwah.

Sebenarnya kami sudah buat beli baju raya seminggu sebelum puasa, tidak pernah terjadi pun sebelum ini.

“Sudah rancang nak pakai empat helai baju raya pelbagai warna iaitu coklat, kuning, hitam dan putih. Arwah memang seronok, banyak kongsi keterujaan tersebut dengan Adrian,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok