DUNIA hiburan tanah air tidak pernah kering dengan drama. Apabila cerita peribadi terhumban ke gelanggang media sosial, tafsiran berubah menjadi peluru.
Netizen pula pantas menjadi hakim, satu ayat dipetik, sepuluh andaian dilontar. Di situlah bermula drama baharu, bukan di set penggambaran, tetapi di ruangan komen.
Maka setiap minggu muncul episod baharu. Ada kisah cinta, polemik keluarga juga cerita sahabat setia namun apabila kisah peribadi dihidangkan di ruang awam, garis sempadan antara kejujuran dan sindiran menjadi kabur.
Ribuan mata memerhati, ratusan jari bersedia menaip. Lebih pedih apabila ayat ditafsir berlapis-lapis. Satu frasa dianggap sindiran, setiap ungkapan diseret menjadi polemik dan bermulalah perbahasan panjang tanpa noktah, seolah-olah seluruh negara menjadi panel penganalisis kehidupan selebriti.
Minggu ini dunia hiburan bergegar apabila pelakon Nur Fazura tampil mempertahankan sahabat karib dikenali sebagai Chot selepas individu itu menjadi sasaran kecaman bertubi-tubi dalam media sosial.
Segalanya bermula apabila lelaki berkenaan didakwa membuat hantaran sehingga mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan pengguna maya.

FAZURA menegaskan Chot bukan sekadar sahabat karib bahkan sudah seperti keluarga yang banyak membantu mempermudahkan urusan hidupnya dan Fatima.
Menghargai persahabatan selama 17 tahun, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu menegaskan lelaki terbabit bukan hanya rakan biasa, sebaliknya individu yang banyak membantu perjalanan hidupnya termasuk menguruskan anak tunggalnya, Nur Fatima.
“Dia dah bersama saya selama 17 tahun. Menjaga Fatima sejak dari dalam perut saya lagi.
Dia satu-satunya susuk lelaki di dalam rumah saya selama ini. Dialah belikan susu, lampin dan semua keperluan Fatima.
“Ganti mentol lampu sampai tukar tayar kereta. Orang lain pun tak mampu buat,” katanya menerusi komen balas dalam Threads.
Enggan rakan karibnya terus diganyang netizen, aktres berusia 43 tahun itu menasihati orang ramai supaya berhati-hati sebelum melemparkan tuduhan terhadap Chot.
“Bila Fatima sakit, Chot juga yang memandu.
Jadi hati-hati bila bercakap, jangan sampai makan diri sendiri pula,” ujarnya.
Namun kenyataan tersebut membuka pintu spekulasi baharu. Ungkapan seperti ‘tukar tayar’ serta frasa ‘orang lain pun tak mampu buat’ segera menjadi bahan tafsiran netizen.
Ramai mendakwa faham siapa ‘orang lain’ dimaksudkan, sekali gus mengaitkan kenyataan tersebut dengan kisah rumah tangga lalu bersama pelakon Fattah Amin.

TANGKAP layar teguran Fazura buat netizen yang mengecam sahabatnya, Chot.
Menambah bara, ada pihak mempersoalkan hubungan rapat Fazura dengan lelaki bukan mahram selama bertahun-tahun.
Tuduhan bersekedudukan, sindiran moral dan pelbagai spekulasi lain mula membanjiri ruangan komen.
Fazura kena belajar bila patut bercakap dan bila perlu berhenti. Fikir panjang sebelum menaip.
“Nak pertahankan kawan, tiada masalah. Tapi ayat ‘orang itu’ untuk siapa?
“Macam mana pun, dia tetap ayah kepada anak perempuan kau dan lelaki pernah hidup bersama,” tulis seorang pengguna media sosial.
Kontroversi tidak berhenti di situ. Isu terus berpanjangan apabila bintang filem Pisau Cukur itu didakwa melabel seorang pengguna Threads sebagai ‘syaitan’ dan ‘penganut syaitan’ kerana dianggap gemar menghasut serta melaga-lagakan orang.
Tindakan tersebut pula mengundang kritikan baharu apabila ada berpendapat kata-kata sebegitu tidak wajar keluar daripada seorang figura awam.
Saya tak percaya Faz boleh cakap begitu. Tak sepatutnya keluar daripada artis berpengalaman dan terkenal.
“Mungkin lepas geram, tapi kena ingat ramai pengikut melihat.
“Jaga lisan. Hentikan buli siber dan teruskan hidup,” tulis seorang lagi netizen.
Namun di sebalik kecaman, ada juga peminat tampil mempertahankan aktres berkenaan.
Hakikatnya, setiap cerita pasti memiliki dua sisi. Ada kisah tidak diketahui umum, wujud luka tidak pernah dikongsi namun apabila semua diluahkan di ruang terbuka, sempadan antara penjelasan dan provokasi menjadi kabur.
Ironinya, dalam dunia media sosial hari ini, kesetiaan boleh ditafsir sebagai drama, manakala penjelasan mudah bertukar polemik. Satu komen mampu menyalakan api panjang berhari-hari.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan lagi mengenai siapa benar atau salah sebaliknya tentang satu perkara lebih besar iaitu apabila kehidupan peribadi selebriti menjadi tontonan awam, setiap kata ibarat bara.
Dan seperti biasa, netizen sentiasa bersedia meniup api itu supaya terus menyala. – HIBGLAM
