‘Bila bapa tiada barulah rindu, masa ada kita sibuk’

PETALING JAYA – Masih dalam fasa ‘move on’, pelakon Syafiq Dharma akui rindu dan sebak setiap kali terkenangkan arwah bapanya, pelakon veteran Allahyarham Dharma Harun Al Rashid yang telah meninggal dunia pada 25 November tahun lalu.

Tambah Syafiq atau nama sebenarnya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 37, perasaan rindu itu bertambah kuat apabila dia berlakon dalam filem pendek khas raya, Jam Misteri Atuk.

“Ini kali pertama saya kembali berlakon selepas pemergian bapa. Jalan cerita filem pendek ini sangat dekat dengan diri saya sehingga saya terpaksa berperang dengan emosi sendiri.

“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapanya dan saya sendiri masih dalam proses untuk ‘move on’. Jadi, ada babak-babak saya tidak berlakon sebaliknya meluahkan emosi sebenar tanpa sengaja,” ujarnya.

Tambah Syafiq, filem pendek terbitan Avaris Studio itu memberi pengajaran tentang pentingnya menghargai masa dan ibu bapa selagi mereka masih ada.

“Seperti mana dalam filem pendek ini, selepas arwah bapa tiada barulah kita teringat kenangan bersama dan rasa rindu. Walhal semasa bapa masih ada, kita sibuk dengan kerja dan kehidupan. Sekarang, apabila saya lihat kerusi yang arwah bapa selalu duduk pun saya rasa sayu,” katanya lagi.

Syafiq yang kini sedang menyambung pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) berharap filem pendek Jam Misteri Atuk ini dapat membuka peluang untuk meneruskan legasi bapanya sebagai seorang anak seni.

“Jika boleh arwah bapa mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni dan saya harap menerusi karya ini orang akan mula nampak bakat saya,” tuturnya.

Filem pendek yang diarahkan oleh Ali Irman Bahrudden itu mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Segalanya berubah apabila dia menemui jam tangan lama milik datuknya yang membawanya kembali ke masa lalu.

Menurut Ali Irman, filem pendek yang menjalani penggambaran selama dua hari di Hulu Langat, Selangor itu sarat dengan mesej positif tentang menghargai orang tersayang dan cara berdamai dengan takdir sesuai dengan suasana sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Pembikinan filem pendek ini tidak sukar kerana barisan pelakon yang berpengalaman. Apa yang boleh saya katakan Jam Misteri Atuk sebuah karya yang sangat menyentuh jiwa terutama orang yang pernah kehilangan insan tersayang. Jadi, saya harap penonton dapat memberikan sokongan,” tutur Ali Irman.

Selain Syafiq Dharma, karya ini turut dibintangi oleh, Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.

Filem pendek jam Misteri Atuk telah ditayangkan secara eksklusif pada 13 Mac lalu menerusi 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall.

Pada hari yang sama, filem tersebut turut ditayangkan kepada umum menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan turut disiarkan menerusi Awesome TV. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok