PELAKON Nabila Huda seronok apabila Ramadannya terisi dengan rutin baharu iaitu menjalankan bisnes menjual sos pasta miliknya iaitu Amore In Cucina.
Baru dilancarkan pada bulan lalu, Nabila berkata, dia tidak menyangka sos pastanya itu berjaya mendapat sambutan hebat daripada orang ramai.
“Sebenarnya nak keluarkan pada tahun lepas tetapi aturan Tuhan, saya akhirnya ada sos pasta sendiri tahun ini.
“Saya sangka tiada sambutan, sekali habis semua dan sampai sekarang memang hidup saya tengah sibuk tentang tomato,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, baru-baru ini.
Ujarnya, sikap cerewet dan sentiasa mahukan makanan yang sedap khususnya pasta juga antara sebab dia mengeluarkan sos tersebut.
“Saya jenis akan pastikan produk yang dijual ini seperti rasa makanan yang saya makan dekat rumah. Sebab tu saya memang sangat cerewet.
“Jadi, saya guna resipi ‘home-cook’ sebab niat pertama nak orang rasa kasih sayang daripada hidangan yang saya masak itu.
“Saya juga tak akan jual produk yang biasa-biasa tetapi mahu pembeli dapat rasa sos pasta premium sama seperti saya makan di rumah,” ujarnya.
Bagi menampung jumlah tempahan yang banyak, dia bercadang untuk melawat beberapa ladang tomato termasuk di Cameron Highlands dalam masa terdekat bagi mendapatkan pembekal baharu.
“Saya ‘order’ tomato terlalu banyak baru-baru ini, sampai sudah tak terkira jumlahnya.
“Sekarang saya sedang mencari ladang tomato. Kalau dapat, mudah untuk dapat pembekal tomato berterusan dan mungkin harga juga lebih murah,” ujarnya lagi. – HIBGLAM
