Viu siar drama lokal, antarabangsa terbaik percuma

MEMERIAHKAN kedatangan Syawal, penstriman video OTT terkemuka, Viu membawakan kempen Viu Together Gather yang menawarkan akses strim secara percuma drama tempatan dan antarabangsa terbaik.

Membariskan judul drama popular dalam dan luar negara, seleksi pilihan lokal ialah Jendela Hati, Anggun Mikayla serta drama rantaian yang turut tular di Indonesia, Bidaah.

Jendela Hati lakonan Anna Jobling sebagai Farah dan MK K-Clique (Lukman Hafizi) mengetengahkan konflik pengorbanan dan cinta antara Farah dan abang iparnya.

Anggun Mikayla pula menyusuri perjalanan seorang jurusolek mencari jati diri dan pengiktirafan daripada ibu kandung di sebalik rahsia kelahirannya.

Paling ditunggu-tunggu tentu saja kisah ajaran sesat, Bidaah yang sarat pengajaran dengan barisan pelakon hebat termasuk Faizal Hussein sebagai Walid.

Naskhah luar negara dari Korea Selatan juga antara sajian istimewa buat peminat K-drama termasuk Descendants of the Sun, True Beauty, Fireworks of My Heart serta Love Between Lines.

Kepelbagaian genre termasuk siri penyiasatan dalam Taxi Driver 2 pastinya menyuntik debaran apabila Kim Do-gi kembali bersama teksi pelangi untuk menuntut keadilan.

Descendants of the Sun menggabungkan aksi ketenteraan dan percintaan antara kapten pasukan khas serta pakar bedah dalam mengharungi krisis kemanusiaan.

Satu lagi tajuk popular, True Beauty berasaskan webtoon popular merupakan kisah komedi romantik tentang keyakinan diri serta cinta tiga segi remaja selain satu lagi genre sama, Fireworks of My Heart berkenaan pertemuan semula ketua pasukan bomba dan doktor selepas 10 tahun terpisah

Turut mempunyai kelompok pengikut tegar, Love’s Ambition merujuk kepada perkahwinan antara penyampai berita popular dan lelaki elit yang mula retak perbezaan darjat menjadi penghalang.

Sebuah kisah cinta unik yang bermula daripada komunikasi bertulis berjudul Love Between Lines membuktikan bahawa perasaan boleh mekar melangkau pertemuan fizikal.

Sementara itu, Bloody Flower mengetengahkan kisah seorang bekas pelajar perubatan yang menjadi pembunuh bersiri dengan mendakwa memiliki teknologi untuk menyembuhkan penyakit maut, namun memerlukan nyawa manusia sebagai galang ganti.

Orang ramai boleh menonton pelbagai judul tersebut secara percuma melalui platform Viu. Aplikasi Viu juga boleh dimuat turun melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery serta TV pintar terpilih, atau dengan melayari laman web rasmi www.viu.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok