‘Saya hilang segalanya, kutip dana teruskan hidup’

SERBA tidak menjadi, pelakon Nonny Nadirah mengakui kehidupannya berubah drastik apabila kehilangan sumber pendapatan termasuk perniagaan dalam talian yang diusahakan sejak sekian lama.

Ujar Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 36, situasi tersebut menyebabkan dirinya berdepan kesukaran sehingga terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi meneruskan kehidupan harian.

Assalamualaikum, saya Nonny Nadirah dari Malaysia. Saya ingin memaklumkan bahawa kini saya kehilangan segalanya dan sukar untuk saya jelaskan apa sebenarnya berlaku.

“Pada 2003, saya memulakan perniagaan dengan modal hanya RM200. Ketika itu saya bukan bergerak sebagai penyanyi atau pelakon, sebaliknya sekadar bekerja dari rumah,” katanya dalam TikTok

Tambah pelakon Budak Intern itu, kehidupan yang dibina sejak sekian lama mula berubah selepas pendiriannya menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Malah, perkara tersebut memberi kesan besar terhadap kerjaya serta sumber rezekinya.

Saya masih bekerja tetapi selepas saya menyatakan sokongan terhadap Palestin, semua perkara seperti disekat. Kehidupan dan kerjaya saya seolah-olah runtuh sekelip mata.

“Jadi sekarang saya cuba mengutip dana kerana itu sahaja cara yang ada untuk menampung kehidupan harian,” luahnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam media sosial. Ada yang tampil memberikan kata-kata semangat selain mendoakan agar Nonny kembali bangkit selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.

“Semoga dipermudahkan urusan Nonny. Rezeki Allah luas, pasti ada jalan keluar.

Terus kuat. Kadang-kadang ujian datang untuk menguatkan kita.

“Semoga ada pihak dapat membantu dan memberi peluang baharu,” tulis beberapa netizen.

Namun, terdapat juga segelintir pihak mempertikaikan kenyataan tersebut selain meminta penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar dihadapi pelakon terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok