Oi! memang untuk DMA Islam – Drama Band

KUMPULAN Drama Band mengambil pendekatan luar kotak apabila memilih untuk membalas kritikan pempengaruh dikenali sebagai DMA Islam menerusi karya terbaharu berjudul Oi! yang dijangka dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurut vokalisnya, Aepul Roza, lagu tersebut dihasilkan sebagai bidasan terhadap kenyataan individu terbabit yang didakwa merendah-rendahkan kerjaya anak seni.

Bahkan, dalam teaser lagu Oi! yang dimuat naik dalam akaun media sosial Drama Band, mereka tidak lagi berkias dalam lagu seperti kebiasaannya, sebaliknya lirik tajam dituju terus kepada pempengaruh sensasi itu.

Kalau orang tanya lagu ini untuk siapa, memang untuk dia (DMA Islam). Selama ini semua lagu berkias dan beradab.

“Tapi kali ini subjek yang kami bidas itu tidak begitu beradab, jadi kami sampaikan secara terus-terang dalam lirik,” kata Aepul selaku komposer dan vokalis Drama Band.

Menurut Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, kebanyakan artis memilih untuk tidak melayan kritikan pempengaruh tersebut kerana bimbang memberi lebih publisiti kepadanya.

Namun bagi Drama Band, situasi itu perlu ditangani dengan cara yang lebih bijak agar persepsi masyarakat tidak terus dipengaruhi.

“Memang ramai artis ambil pendekatan malas layan sebab lagi dilayan akan beri publisiti kepada dia. Itulah yang dia mahukan.

Tapi zaman sekarang ini zaman persepsi. Dia tahu permainan itu, dia boleh ubah persepsi orang melalui kandungan yang dia buat. Meskipun yang memberi ratusan komen itu adalah akaun palsu yang dibuat oleh mereka sendiri,” tuturnya.

Aepul berkata, sekiranya dibiarkan tanpa sebarang respons, ada kemungkinan sebahagian masyarakat akan mempercayai naratif yang dibawa oleh individu terbabit.

Kalau kita biarkan dan ada 100 hingga 300 orang percaya, bagi saya sebagai masyarakat kita gagal. Orang seperti dia tidak boleh dibiarkan bercakap tanpa ada bidasan balas daripada pihak kita,” jelasnya.

AEPUL (tengah) yakin kritikan bukan bermakna memberi publisiti terhadap individu terbabit yang dikatakan biadab terhadap anak seni sepertinya.

Bagaimanapun, katanya Aepul respons tersebut perlu dilakukan dengan cara yang matang dan tepat agar tidak menimbulkan polemik yang tidak perlu.

“Kita perlu bersuara juga, tapi kena bijak. Bidasan itu kena tepat pada tempatnya. Selalunya kami memang jenis diam saja, tambahan pula dia lebih muda dan hanya buat kandungan media sosial

Namun bagi saya, dia sudah melampau apabila bukan sahaja memperlekehkan kerjaya seni yang kami perjuangkan tetapi menyamakan dengan taraf air mazi!,” jelas Aepul.

Ramadan

Dalam masa sama, projek lagu Oi! turut dianggap antara projek paling serius yang pernah dihasilkan oleh Drama Band kerana bakal menampilkan kolaborasi dengan seorang penyanyi rap legenda tanah air.

Bagaimanapun, identiti penyanyi tersebut masih dirahsiakan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Insya-Allah kami akan umumkan tidak lama lagi nama penyanyi rap itu. Sekarang sedang sibuk untuk rakaman video muzik dan juga rakaman di studio.

Sementara itu, sepanjang bulan Ramadan tahun ini, Drama Band mengambil keputusan untuk berehat daripada sebarang persembahan pentas bagi bersama keluarga selain memberi tumpuan kepada proses rakaman lagu baharu.

“Sudah dua tahun kami tidak bercuti. Jadi Ramadan kali ini kami beritahu pengurusan tidak mahu ambil sebarang persembahan.

Biasanya kalau buat persembahan secara langsung, kami agak ‘gila’ di atas pentas, terlompat dan terjerit. Jadi rasa kurang manis pula kalau buat ‘show’ ketika bulan puasa,” katanya.

Aepul berkata, sebenarnya mereka juga merancang menghasilkan lagu raya sejak tahun lalu, namun perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana memberi fokus kepada konsert ulang tahun ke-15 kumpulan tersebut.

“Niat buat lagu raya sudah ada sejak tahun lepas. Melodi dan lirik pun sudah siap, cuma tidak sempat masuk studio.

Kami pula sibuk dengan projek konsert 15 tahun Drama Band. Sedar-sedar sudah hampir raya, lagipun tahun ini ramai penyanyi keluar dengan lagu raya, jadi kami fokus untuk lagu selepas raya,” tutur Aepul lagi.

Dalam pada itu, Aepul yang ditemui pada majlis Apresiasi dan Iftar bersama Drama Band di Astana Putra sempat meraikan 49 orang kurang bernasib baik yang terdiri daripada anak yatim, asnaf, mualaf dan orang kelainan Upaya (OKU). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok