Gayong 2, perjuangan banteras rasuah, salah kuasa

SELEPAS kejayaan filem pertama yang ditayangkan tahun lalu, kini kisah tentang Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) diteruskan dalam filem Gayong 2 terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd.

Bukan sekadar tentang kisah mengenai kehidupan sebagai seorang guru silat semata-mata, Gayong 2 kembali dengan skala  lebih besar, emosi lebih mendalam dan konflik yang lebih kompleks.

Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip berkata, filem ini membawa perjalanan ADMAR ke fasa hidup lebih gelap dan mencabar, bukan lagi sekadar sebagai pendekar, tetapi sebagai pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British selepas Perang Dunia Kedua di Singapura

“Filem ini masih berpaksikan kepada kehidupan sebenar Meor Abdul Rahman khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidup beliau.

Namun begitu, dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik – bukan dokumentari, tetapi sebuah karya yang mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar ketika itu,” ujarnya.

Berlatarbelakang suasana Tanah Melayu pasca perang, Gayong 2 menyelami dilema moral seorang lelaki berpegang pada prinsip untuk membanteras jenayah kongsi gelap dan rasuah, serta berhadapan dengan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan yang dilindungi sistem.

Filem arahan Faisal Ishak itu masih mengekalkan Beto Kusyairy sebagai Meor serta Nabila Huda dan Syafie Naswip di samping kemunculan beberapa pelakon lain seperti Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat.

Menariknya, filem ini turut diserikan lagi dengan penampilan Miss Malaysia 2024, Sandra Lim yang membuat penampilan sulung dalam sebuah naskhah filem epik Melayu.

FILEM ini berpaksikan kepada kehidupan sebenar Meor Abdul Rahman khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidup beliau.

Bercerita lebih lanjut mengenai penerbitan filem Gayong 2, Khairul menjelaskan kisah ADMAR tidak seharusnya terhenti sebagai sejarah kelahiran seorang guru silat semata-mata.

“Dalam sejarah hidup beliau, ada satu fasa yang sangat menarik dan relevan iaitu apabila beliau memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sebuah sistem.

Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk menceritakan perjuangan yang lebih kompleks, tentang bagaimana seseorang yang berpegang pada prinsip diuji apabila kebenaran itu sendiri menjadi ancaman,” ujarnya.

Sementara itu, Faisal selaku pengarah menyatakan Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, tetapi kesinambungan warisan dan tanggungjawab.

Sambungan

Ujarnya, filem itu mengangkat isu rasuah, gangsterisme dan penyalahgunaan kuasa, namun pada terasnya adalah kisah seorang lelaki yang terperangkap antara prinsip hidup dan keselamatan keluarganya.

Kalau dalam filem pertama lebih menjurus kepada memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan keperibadian dan harga diri.

“Dengan naratif yang lebih matang, konflik moral yang lebih tajam dan aksi yang lebih mantap, Gayong 2 bersedia untuk menjadi sebuah karya tempatan yang bukan sahaja mengangkat seni persilatan, tetapi juga keberanian mempertahankan prinsip dalam dunia yang tidak sempurna,” jelasnya.

Ujarnya, penggambaran Gayong 2 dijalankan sepenuhnya dari November hingga Disember 2024 dan 100 peratus lokasinya adalah di Ipoh, Perak.

Sebagai pengarah, Faisal meletakkan harapan supaya filem ini lebih dekat dengan penonton kerana bermain dengan emosi yang lebih sarat.

Saya ingin penonton yang menonton filem ini nanti pulang dengan rasa bangga terhadap warisan kita dan pada masa yang sama terhibur dengan sebuah filem aksi tempatan yang dibuat dengan sepenuh hati.

“Jika ada penonton yang pulang sambil berfikir tentang keluarga, tentang akar budaya, maka filem ini berjaya menjalankan tugasnya,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok