‘Showcase di Qatar 26 April, doakan kemelut segera reda’

SELEPAS mencipta fenomena menerusi konsert mega di Stadium Nasional Bukit Jalil Februari lalu, Ratu Rock negara, Ella kini bersiap sedia untuk menggegarkan pentas antarabangsa menerusi sebuah showcase eksklusif di Qatar pada April depan.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, meluahkan keterujaan apabila menerima jemputan sebuah organisasi Malaysia untuk mengadakan persembahan di sebuah hotel terkemuka di negara Timur Tengah tersebut.

Bagaimanapun, pelaksanaan showcase berkenaan masih bergantung kepada perkembangan situasi semasa di rantau itu.

“Saya akan mengadakan satu showcase di sebuah hotel terkemuka di Qatar atas jemputan sebuah organisasi Malaysia.

Mereka menjemput saya membuat persembahan pada 26 April depan dan setakat ini sambutan tiket sangat menggalakkan.

“Namun semuanya bergantung kepada perkembangan kemelut di Timur Tengah ketika ini. Jika berlaku penangguhan penerbangan, saya perlu terima keadaan tersebut,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut mengenai persembahan tersebut, pelantun lagu Sembilu itu berkata, dia merancang mempersembahkan sekitar 15 buah lagu buat peminat di sana.

“Saya sangat tidak sabar untuk membuat persembahan di hadapan penonton di sana kerana suasananya pasti berbeza.

Untuk showcase itu nanti saya akan menyanyikan kira-kira 15 buah lagu.

“Doakan agar kemelut di sana segera reda. Saya sangat menantikan peluang membuat persembahan di Qatar walaupun ada rasa gementar,” ujarnya.

Tambah Ella, showcase tersebut bakal berlangsung di Hilton Doha dan jualan tiket sudah dibuka sejak tiga bulan lalu.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan tiket hampir habis terjual.

Saya mengalu-alukan peminat yang berada di Qatar atau kawasan berhampiran untuk mendapatkan tiket secara dalam talian sebelum kehabisan,” kongsinya pada Majlis Berbuka Puasa Rockqueen Bersama Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal Rumah Kebajikan Hajah Kamariah, semalam.

Pada majlis sama, penyanyi kesayangan ramai itu turut meraikan lebih 40 anak yatim serta ibu tunggal dengan menyampaikan sumbangan wang tunai, barangan keperluan dan cenderahati.

Majlis tersebut turut dimeriahkan kehadiran rakan penggiat seni termasuk Datuk Nash, Datuk Fizz Fairuz, Rahmat Mega, Ali XPDC, Datuk Acis serta jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok