Selepas 2 dekad, MBO Cinemas henti operasi

SELEPAS 23 tahun mewarnai industri perfileman tempatan, rangkaian pawagam MBO Cinemas mengumumkan penutupan operasinya secara kekal.

Dengan berat hati, pihak MBO Cinemas menzahirkan penghargaan kepada penonton yang pernah menjadi saksi kepada pengalaman sinematik mereka sepanjang 23 tahun beroperasi.

“Pertunjukan telah berakhir selepas sekian lama bersama, kini tibalah masa untuk kami menamatkan operasi secara kekal.

“Ini merupakan satu penghormatan besar untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman sinematik para penonton,” ujarnya dalam hantaran Facebook.

MBO Cinemas mula beroperasi pada tahun 2003 dan ditubuhkan sebagai rantaian pawagam ketiga terbesar di Malaysia selepas Golden Screen Cinemas (GCS) dan TGV Cinemas.

Mereka memulakan operasi dengan strategi fokus di kawasan luar bandar dan berkembang pesat kepada 26 hingga 27 cawangan sebelum pandemik Covid-19 menyebabkan likuidasi pada 2020.

Meskipun sebahagian besar asetnya diambil alih GSC, jenama MBO dilancarkan semula pada 19 Disember 2021 di bawah pengurusan baharu bagi memastikan kesinambungan jenama tersebut.

Sehingga penutupan rasmi ini diumumkan, MBO masih mengendalikan sembilan cawangan aktif di sekitar Semenanjung Malaysia termasuklah di Brem Mall, Quayside Mall, dan Elements Mall Melaka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok