MESKIPUN realiti pahit ditelan, pelakon Siti Elizad berpendapat golongan wanita yang belum dikurniakan cahaya mata pasti mampu dan kuat menerima takdir hidup selagi mendapat sokongan dan perhatian daripada pasangan.
Ujar Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd. Sharifuddin, 41, kasih sayang serta keprihatinan suami menjadi sumber kekuatan terbesar buat seorang isteri untuk terus bertahan dalam apa jua keadaan.
“Tidak memiliki anak sebenarnya boleh sahaja diterima seorang wanita. Seorang isteri mampu reda selagi suaminya menyayangi serta mengambil berat tentang dirinya.
“Saya selalu pesan kepada para suami, kekuatan seorang isteri datang daripada pasangannya sendiri. Ubat paling mujarab ialah kasih sayang.
“Kalau isteri bersedih, jangan buat tidak tahu. Jangan abaikan perasaan mereka,” katanya dalam TikTok.
Tambah bintang filem Berlari Ke Langit itu, pasangan suami isteri juga perlu berani mencari jalan keluar sekiranya berdepan konflik berpanjangan dalam rumah tangga.
“Jika ada masalah, keluarlah daripada masalah tersebut. Jangan terlalu lama terperangkap dalam keadaan itu.
“Kalau sudah benar-benar tidak boleh bersama, buatlah keputusan untuk bergerak ke hadapan. Hidup perlu diteruskan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutama wanita yang turut melalui situasi hampir sama dalam kehidupan berumah tangga.
“Betul apa Elizad cakap. Kadang-kadang wanita hanya perlukan perhatian dan sokongan daripada suami.
“Ayat dia sangat mendalam. Bila suami faham perasaan isteri, apa saja dugaan boleh dihadapi bersama.
“Semoga Elizad terus kuat. Rezeki setiap orang berbeza, tetapi kasih sayang pasangan paling penting,” tulis beberapa netizen.
Untuk rekod, Elizad mendirikan rumah tangga bersama suami, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015 dan belum dikurniakan rezeki cahaya mata. – HIBGLAM.
