‘Sedia bersemuka jernihkan isu, saya maafkan dia’

ENGGAN  memanjangkan isu, usahawan dan pempengaruh, Datuk Seri Aliff Syukri sedia bersemuka dengan pengarah, Ahmad Idham susulan luahan terhadap sikap segelintir pelanggan yang didakwa meletakkan kenderaan secara berlapiskan di premis perniagaannya.

Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, berkata, dia enggan memanjangkan hal tersebut secara berlebihan kerana menghormati Ahmad Idham yang dianggap lebih berusia berbanding dirinya.

“Saya tak nak komen lebih-lebih dan sebagai seorang yang lebih tua daripada saya, saya hormatkan dia.

“Saya terbuka kalau selepas ini kita nak berjumpa dan berbincang sama-sama. Premis kita pun jaraknya hanya 10 langkah sahaja.

“Saya tiada apa-apa masalah dan mungkin perkara ini telah diprovokasi sehingga tercetusnya isu,” katanya ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Brandfilm Raya D’Herbs, Ya Abah Saya Sekuriti di GSC IOI Mall Damansara, semalam.

Menurut, Aliff pertambahan pelanggan di premis perniagannya adalah antara situasi di luar jangkaan yang menyebabkan kesesakan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, Aliff mengakui sudah mengambil inisiatif menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi membantu menguruskan aliran trafik di sekitar kawasan tersebut.

“Sepanjang berniaga, saya tak pernah menyangka wisma kami akan dikunjungi pelanggan seramai itu.

“Kami juga ada inisiatif memanggil pasukan Rela untuk menjaga lalu lintas di sekitar kawasan premis kami dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Melihat isu dibangkitkan rakan seperjuangannya itu dari sudut positif, dia menyifatkan situasi yang berlaku itu secara tidak langsung turut mempromosikan produk dan perniagaannya.

“Cuma apa yang abang (Ahmad Idham) buat itu dalam masa yang sama telah mempromosikan perniagaan saya. Jadi, saya nak ucapkan ribuan terima kasih.

“Saya tak ambil hati dan saya memaafkan. Dalam masa yang sama, saya juga memohon maaf jika ada mengganggu premis dia,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahmad Idham isu kesesakan dibangkitkannya mengundang perhatian ramai selepas dia meluahkan rasa kurang senangnya kepada umum.

Hal ini kerana, segelintir pelanggan yang ke premis Aliff didakwa meletakkan kenderaan secara ‘double park’ sehingga mengganggu operasi sekolah miliknya berhampiran Wisma D’Herbs.

Begitupun, kemudian pengarah filem Impak Maksima itu membuat permohonan maaf selain menjelaskan hantaran dibuat hanya sebagai luahan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok