Rumah mewah Rihanna terima 10 das tembakan, suspek ditahan

SEORANG wanita ditahan polis selepas dipercayai melepaskan 10 das tembakan ke arah kediaman mewah penyanyi, Rihanna di Beverly Hills, Los Angeles, semalam.

Difahamkan tembakan yang dilepaskan daripada dalam sebuah kenderaan putih menembusi dinding kediaman tersebut sebelum suspek memecut meninggalkan lokasi kejadian.

Kereta jenis Tesla yang digunakan penembak dikesan berada di parkir sebuah pusat beli-belah 12 kilometer dari lokasi kejadian.

Menerusi kenyataan Los Angeles Police Department (LAPD), beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kediaman mewah bintang terkenal Amerika Syarikat itu sekitar pukul 1.15 tengahari waktu tempatan.

“Suspek dikesan dan ditahan bersama rampasan satu senjata api, AR-15-style
Siasatan lanjut kini dijalankan Bahagian Rompakan dan Pembunuhan LAPD,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut polis lagi, suspek asal Orlando, Florida itu berjaya ditahan tanpa sebarang cubaan untuk melarikan diri.

Sumber lain pula mengesahkan penyanyi kelahiran Barbados itu berada di rumah ketika insiden terbabit, namun tidak pasti sama ada terdapat orang lain sewaktu insiden berlaku.

Rumah agam berkenaan dihuninya bersama pasangan, A$AP Rocky juga penyanyi serta tiga anak mereka, RZA, 4, Riot, 3, serta Rocki yang dilahirkan pada September 2025.

Setakat ini, identiti wanita yang ditahan dikenal pasti bernama Ivanna Lisette Ortiz, manakala motif tembakan belum didedahkan kepada umum.

Suspek juga bakal berdepan dakwaan cubaan membunuh dengan wang jaminan ditetapkan sebanyak RM39.5 juta.

Wakil pengurusan penerima sembilan anugerah Grammy serta selebriti bertaraf bilionair itu juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok