0
GARA-GARA melakukan teguran dalam siaran langsung terhadap individu yang mengganggu privasi hidupnya, pelakon Jazmy Juma mengakui bukan seorang yang mudah melenting atau pemarah.
Namun, Jazmy atau nama sebenarnya Jazmy Khan Juma Khan, 28,memaklumkan tindakan tersebut diambil selepas berasakan segelintir pihak mula melampaui batas sehingga mengganggu emosi dan perjalanan kerjanya.
“Apa yang saya buat hari itu adalah siaran langsung minta jangan ganggu kehidupan peribadi saya.
Boleh saja nak ambil tahu fasal saya, tapi janganlah melampaui batas. Saya bukan jenis melenting, saya sangat memendam rasa selagi boleh.
“Selagi saya boleh diam, saya diam sebab kadang-kadang itu lebih baik. Saya bukan juga orang yang pemarah tapi kalau saya marah, kawan-kawan saya tahulah saya marah macam mana,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan perdana drama vertikal ‘My Ramadan Love Story’ yang berlangsung di Courtyard by Marriot, Kuala Lumpur, semalam.
Meskipun terbuka menerima nasihat daripada peminat, pelakon drama Kerana Cinta Itu Dusta itu berharap teguran yang diberikan biarlah mengikut cara dan saluran yang betul tanpa menggunakan kata-kata kasar.
“Saya cuma rasa macam tak semua benda boleh disentuh apabila melibatkan hal peribadi. Saya harap orang hormat benda itu.
Orang boleh nasihat atau tunjuk ajar yang baik, kalau saya rasa perkara itu patut ikut dan baik untuk saya, saya akur. Tapi bila teguran atau kata-kata macam melampau, ada yang lebih-lebih, saya rasa macam tak boleh nak terima.
“Kadang-kadang benda itu mengganggu proses perjalanan hidup seharian dan kerja saya juga. Saya terpaksa bersuara.
Bagaimanapun, Jazmy enggan memperincikan mengenai kata-kata yang diterima sehingga menyebabkan dia terpaksa menegur dalam sebuah siaran langsung.
Ditanya sama ada gangguan tersebut memberi kesan kepada hubungan cintanya, Jazmy memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Tiada komen tentang itu (gangguan beri kesan hubungan dengan kekasih).
“Saya buat siaran langsung itu bukan melindungi orang saya sayang saja tapi melindungi diri saya sendiri.
Sebelum ini, Jazmy memberi gambaran diganggu segelintir individu sehingga menjejaskan kehidupan peribadinya. – HIBGLAM
