Rebut peluang Lailatul Qadar bersama TV AlHijrah

DALAM kesibukan masyarakat membuat persiapan Aidilfitri, stesen televisyen AlHijrah mengisi 10 malam terakhir Ramadan dengan pelbagai program ilmu dan ibadah termasuk tadabbur al-Quran.

Sebagai stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah komited menyediakan pengisian rohani yang memberi manfaat selaij membantu umat Islam menghidupkan malam-malam terakhir walau di mana mereka berada.

Di sebalik keriuhan ini, Ramadan masih menyimpan rahsia istimewa kerana 10 malam terakhir membuka peluang berharga bagi muslimin iaitu malam Lailatul Qadar, malam penuh keberkatan yang ganjarannya dijanjikan melebihi 1,000 bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata tempoh ini
merupakan kemuncak kepada perjalanan ibadah sepanjang bulan penuh barakah yang tidak seharusnya dilepaskan.

“Fenomena yang kita lihat setiap tahun amat jelas. Masyarakat mula terpesona dengan persiapan Aidilfitri, lagu raya berkumandang lebih awal, dan fokus mereka beralih kepada pulang ke kampung atau bazar Ramadan.

“Dalam situasi membilang ke 1 Syawal, ramai terlupa tentang detik paling berharga Ramadan iaitu 10 malam terakhirnya, di mana tersembunyi Lailatul Qadar. Lailatul Qadar malam sarat ganjaran daripada 1,000 bulan

“Menjadi tanggungjawab kita mengingatkan masyarakat agar tidak terlepas peluang ini dengan TV AlHijrah sebagai medium memberi bimbingan, menyuntik kesedaran dan menyediakan pengisian rohani sepanjang tempoh ini.” katanya.

Menurut Namanzee lagi, menerusi program khas yang disusun, pihaknyq berharap masyarakat bukan sahaja dapat menambah ilmu, bahkan dapat memperbanyakkan ibadah, doa dan tadabbur al-Quran.

“10 malam terakhir Ramadan adalah detik yang tidak boleh diabaikan kerana ini adalah peluang untuk menutup Ramadan dengan penuh keberkatan,” ujarnya.

Antara pengisian utama disediakan TV AlHijrah termasuk Nuzul al-Quran yang mengimbau peristiwa agung turunnya al-Quran sebagai petunjuk hidup.

Katanya, tidak ketinggalan menampilkan penghayatan mukjizat kitab suci itu selain perbincangan ilmiah mengenai peranannya dalam kehidupan umat Islam.

Bermula 10 Mac pula, TV AlHijrah membawakan program Malam Seribu Bulan iaitu memberi tumpuan kepada keistimewaan malam Lailatul Qadar melalui bacaan al-Quran oleh barisan qari terkenal negara.

“Slot ini adalah mengenai perkongsian ilmuwan tentang kelebihan memperbanyakkan ibadah yang disiarkan pukul 11 malam setiap Isnin hingga jumaat dan 10 malam pada Sabtu dan Ahad.

Menyusul pada 11 Mac adalah Program Ramadan Quran Hour dari pukul 12 tengah hari hingga 1 petang yang memberi ruang kepada masyarakat mendekati al-Quran melalui bacaan, tadabbur, dan penghayatan ayat-ayat suci.

Bagi memanfaatkan lagi akhir Ramadan, program Khatam Ramadan Mualaf disiarkan 13 Mac ini untuk mengetengahkan perjalanan rohani saudara baharu yang mendekati al-Quran serta pengalaman mereka sepanjang bulan puasa.

Selain siaran televisyen, TV AlHijrah turut memperluas penyampaian dakwah melalui platform digital seperti Langit Dakwah, yang menyiarkan kandungan ringkas, mudah difahami, dan sarat ilmu.

Siaran langsung Solat Tarawih Masjid ke Masjid turut dipaparkan di platform TikTok Berita AlHijrah bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk terus menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan walau di luar rumah.

Dalam usaha memperkukuh penyebaran dakwah, TV AlHijrah juga mengajak masyarakat menyertai program Wakaf Media menerusi sumbangan kepada pembangunan kandungan dakwah secara berterusan di lokasi terpilih termasuk UDA Holdings, Hotel Mardiyyah serta Attana Perdana KLCC.

Orang ramai juga boleh mengikuti pengisian istimewa ini melalui platform digital rasmi stesen, serta AlHijrah Plus Apps yang membolehkan penonton mengikuti secara live streaming atau mengulang siaran sepanjang malam terakhir Ramadan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok