BEKERJA ketika masih berpantang, penyanyi Ayda Jebat menghargai keprihatinan netizen yang menitipkan pesanan agar menjaga kesihatan selepas melahirkan anak ketiga pada Januari lalu.
Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat, 33, berkata, dia hanya hadir ke acara yang sudah dipersetujui sebelum bersalin sekali gus mengotakan janji kepada penganjur dan peminat.
“Terima kasih kepada mereka yang bagi nasihat, pesanan dan kongsi banyak tip untuk ibu-ibu bekerja. Saya hargai sangat. Bukan keluar selalu atau suka-suka nak datang ke majlis.
Sebenarnya bukan bekerja sangat pun, saya hadir menyantuni mereka yang bagi sokongan selama ini. Malah saya juga ditemani suami. Selepas itu kami terus pulang.
“Semuanya ini atas kehendak sendiri tetapi dengan restu suami. Bukan enggan berpantang penuh kerana amalan serta petua orang lama pun kita ikut,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Watsons Glam Glam Glam Raya, baru-baru ini.
Masih menggunakan kerusi roda yang ditolak suaminya juga pengacara, Nabil Mahir, akui Ayda yang akan habis pantang beberapa hari lagi, luka jahitan semula pada bahagian pembedahan bersalin juga semakin sembuh.
Namun, dia tetap dinasihatkan agar menggunakan kemudahan tersebut jika keluar untuk mengelakkannya yang sedia aktif menjadi lasak.
Saya seorang ibu aktif. Sebelum ini memang terlupa yang kita baru bersalin, jadi jalan pun laju saja. Selepas menjalani prosedur jahit semula luka, memang kena duduk atas kerusi roda.
“Lebih selamat, tiadalah terasa nak jalan laju atau sebagainya dan tiada juga risiko tersadung. Alhamdulillah, semua okey. Bayi pun sihat,” ujarnya lagi.
Mengenai Watsons Glam Glam Glam Raya, katanya klip muzikal pendek tersebut dirakamkan beberapa hari sebelum dia dijadualkan masuk hospital.
Ikutkan ini tahun ke enam saya dilantik sebagai duta Watsons, cuma kali ini saya tak berlakon sebab waktu itu sarat, hanya tunggu hari untuk melahirkan.
“Memang seronok sebab ada ramai kawan di set. Kisah yang diketengahkan tahun ini pun best, fasal raya sedondon membabitkan satu keluarga. Meriah,” ujarnya.
Selain Ayda, muzik video itu turut membariskan Che Puan Sarimah Ibrahim, Fahrin Ahmad, Wani Kayrie serta Sharifah Rose.
Terdahulu, Ayda juga pelakon Ayda Jebat melahirkan anak ketiganya, bayi perempuan diberi nama Anggun Mikayla pada 26 Januari 2026. – HIBGLAM
