‘Sayang, rindu kamu’ – Indonesia berduka kehilangan Vidi Aldiano

BERITA duka penyanyi Vidi Aldiano meninggal dunia semalam akibat kanser buah pinggang ditangisi seluruh industri hiburan Indonesia.

Rata-rata selebriti ternama termasuk Datuk Rossa, Afgan, Raisa dan Melly Goeslaw menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Vidi atau nama penuhnya Oxavia Aldiano, 36, selain menyifatkan penyanyi itu sebagai individu yang sentiasa positif meski diuji kanser sejak 2019.

Menurut Afgan, bersahabat dengan Vidi merupakan antara perkara terhebat berlaku dalam kamus hidupnya.

“Salah satu rezeki terbesar dalam hidupku adalah mempunyai kamu sebagai sahabat.

Kamu dipanggil Allah SWT pada bulan yang paling suci dan di hari al-Quran diturunkan, masya-Allah.

“Saya sangat sayang dan sudah merindui kamu tetapi yakin kita akan bertemu lagi, baik-baik di sana dan akan selalu mendoakan untuk kamu,” katanya dalam Instagram miliknya.

Raisa pula menyifatkan Vidi individu yang sangat baik dengan setiap orang disekelilingnya.

“Saya yakin tidak ada orang yang boleh cakap satu perkara buruk tentang Vidi dan sangat bertuah kerana awak hadir dalam hidup.

“Awak selalu tanya khabar, beri semangat, menemani walaupun diri sendiri sedang menghadapi perkara yang jauh lebih berat daripada saya.

“Pemergianmu sangat menyakitkan hati ini. Tenanglah di sana dan terima kasih kerana menceriakan hidup saya dengan jalinan persahabatan ini,” ujarnya.

Rossa pula dalam satu hantaran Instagram turut menitipkan hadiah istimewa berupa bacaan Yasin buat sahabat baiknya itu.

“Vidi tersayang, saya tidak boleh memberikanmu apa-apa lagi tetapi malam ini (semalam), semoga syafaat surah Yasin menemanimu.

“Buat semua, semoga berkenan mendoakan sahabat kita,” kongsinya.

Difahamkan, jenazah suami kepada aktres Indonesia, Sheila Dara itu akan dikebumikan Taman Pemakaman Umum (TPU) Tanah Kusir, Jakarta Selatan hari ini.

Semalam, media Indonesia melaporkan Vidi yang popular menerusi lagu Nuansa Bening disahkan meninggal dunia sekitar pukul 4.33 petang di kediamannya.

Sebelum ini, Vidi dilaporkan menghidap kanser ginjal tahap tiga sejak 2019 dan pernah menjalani pembedahan membuang sebahagian buah pinggang di sebuah hospital di Singapura serta menjalani rawatan kemoterapi di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok