“Takut ‘sparring’ jadi suami, tapi muka budak 12 tahun”

SEJAK menjejakkan kaki ke panggung hiburan yang penuh sandiwara, nama Amyra Rosli jarang terpalit dengan noda sensasi atau kontroversi mengaibkan diri.

Menyelak semula kanvas seninya, tidak pernah sekali pun dia menghumbankan diri dalam kumbah gosip murahan, apatah lagi menjaja diri semata-mata untuk meraih populariti yang bersifat sementara. 

Bagi pemilik nama penuh Nur Amira Izzati Rosli itu, penggunaan media sosial yang meluas kini boleh menjadi platform toksik dan memakan diri sekiranya tidak dikendalikan sebaik mungkin.

 Kendatipun, bintang yang popular menerusi drama Nur itu tidak pernah memandang rendah setiap individu yang memilih media sosial sebagai ruang mencurah isi hati dan menjadikan setiap perkongsian sebagai pengajaran buat dirinya.

Media sosial

“Bosan ya kehidupan orang sekarang, macam dia tak ada orang lain dalam hidup mereka selain media sosial, dengan telefon dan komputer semata-mata.

“Saya ada akaun Threads tapi tidak aktif sangat, lebih kepada Instagram dan TikTok sebab suka tengok resipi makanan serta cerita lucu.

“Tapi kalau yang suka membuat luahan perasaan dalam media sosial, siapa kita nak halang mereka, termasuk golongan ‘keyboard warrior’ yang sering buat onar. Baca dan abaikan saja.

“Kalau mereka rasa meluahkan perasaan dalam media sosial boleh menenangkan perasaan, ikutlah suka hati,” katanya kepada HibGlam.

Dua anak semakin membesar, rutin Ramadan Amyra saban tahun memenatkan, namun semua itu mengukir senyuman di bibirnya.

Mengakui adakalanya gerun melihat lambakan perkongsian berbaur kecaman, dia bagaimanapun sentiasa berdoa agar tidak menjadi sebahagian daripada perkara tersebut.

“Sejujurnya, agak takut melihat segelintir pihak yang suka mengaibkan orang lain, namun saya jadikan benda itu iktibar. 

“Selalunya saya berdoa Allah tidak jadikan saya begitu dan harap dapat simpan segala aib dan cerita yang tak sepatutnya dikongsi,” ujarnya.

Isteri kepada pelakon Amar Bahrin itu juga memegang prinsip tidak sesekali menjadi hamba media sosial yang memungkinkan terbuka aib sendiri kepada umum. 

“Sebenarnya kita tak sepatutnya meletakkan kehidupan ini secara berlebih-lebihan dalam media sosial.

“Kalau rasa sudah terlalu lama melayan media sosial, kena jauhkan diri sebab akan jadi ketagihan dan benda itu yang bahaya,” katanya lagi.

Watak air mata, penyondol

Beralih perihal kerjaya, Amyra kini muncul dengan drama terbaharu, Khianat Yang Terpilih sejak 26 Februari lalu menerusi slot Akasia TV3.

Meski masih memegang watak air mata, dia bagaimanapun teruja karakter yang dipegang kali ini membawa mesej  pemerkasaan wanita. 

“Sebenarnya saya sendiri tak boleh nak bezakan sangat watak-watak sebelum ini sebab selalu dapat karakter yang hampir sama.

“Kali ini saya rasa watak Waheeda ada kekuatan untuk lawan semula berbanding sebelum-sebelum ini, sudah hujung cerita baru nak melawan.

“Sebab itulah sekarang saya agak memilih watak tapi tak boleh tolak banyak sebab perlu jaga periuk nasi sendiri juga dan akan lakukan seikhlas hati tanpa fikir rating atau sebaliknya,” jelasnya.

Bukan sahaja watak, dia juga mengambil berat mana-mana pelakon lelaki yang digandingkan bersama agar tidak kelihatan jurang umur yang terlalu ketara.

“Hero gandingan juga penting dan kalau boleh tak mahu juga asyik dengan pelakon sama saja.

Memilih untuk tidak menjadi hamba media sosial, Amyra lebih mementingkan privasi walaupun bekerjaya dalam dunia hiburan mudah menjemput suara-suara sumbang netizen.

“Sebab kadang-kadang takut juga kalau yang jadi suami tapi muka macam budak umur 12 tahun, ‘baby face’ sangat, tapi saya percaya pihak produksi lebih tahu.

Dalam pada itu, dia tidak kisah dengan gelaran aktres air mata kerana menganggapnya sebagai satu rezeki dan tidak semua pelakon memilikinya.

“Saya tak kisah gelaran begitu dan rasa syukur sebab rasa saya ada tempat di mata pencinta drama, daripada orang tak ingat langsung lakonan saya.

“Orang gelar saya begitu, sementara ada sesetengah pelakon dilabel antagonis sahaja sampai ke tua kan? Jadi, tiada masalah pun,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai trend drama tempatan yang banyak mengangkat isu curang, dia mengakui terpaksa menolak tawaran sebagai wanita penyondol kerana masih belum bersedia untuk menjayakannya.

“Kalau watak tak sesuai dengan imej, memang saya terpaksa tolak.

“Pernah juga saya ditawarkan karakter yang menyondol tetapi saya tolak meski bagi pelakon lain mencabar kemampuan diri.

“Saya bukan takut kecaman orang tetapi selalu fikir imej famili, kalau jadi penyondol, dialog dan perbuatan mesti perlu lebih ‘daring’, sebab itu rasa tak selesa.

“Selain penyondol, saya tak pernah terima tawaran cerita hantu sebab tak kuat semangat, takut yang melampau-lampau. Buat masa ini tangguh dulu tawaran begitu,” kongsinya lagi.

Ramadan, bazar

Berkongsi mengenai rutin Ramadan pada tahun ini, hos program bual bicara Nona itu agak sibuk memandangkan dua anaknya, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa yang sudah bersekolah.

“Sekarang rutin lebih sibuk, selepas sahur tak boleh nak rileks atau sambung tidur sebab kena terus siapkan anak-anak. 

“Huru-hara jugalah setiap pagi, seorang puasa, manakala seorang lagi tidak dan buat bekal. Agak terkejar-kejar jugalah tapi masih terkawal.

“Kalau tanya menu, tak terikat sangat. Suami suka masakan Melayu, manakala kegemaran anak-anak pula makanan Barat tapi mereka tidak cerewet pun.

“Selalunya seawal pukul 4 petang sudah berada di dapur sebab terkejar-kejar sebelum buka puasa,” tuturnya lagi.

Aktres berusia 35 tahun itu juga mengakui masih belum ada keinginannya untuk membeli juadah di bazar Ramadan.

“Tahun ini saya juga tiada keinginan langsung nak pergi bazar Ramadan atau makan di luar sebab macam nak makan di rumah saja, penat macam mana pun tetap masak. 

“Amar pun bukan jenis kaki bazar dan tidak payah nak pergi berasap-asap dan bersesak-sesak dan harga makanan di sana bukannya murah — agak mahal juga.

“Cuma kalau orang lain suka ke bazar, itu pilihan sendiri dan tak perlu menghakimi mereka,” ujarnya mengakhiri perbualan. 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok