‘Uqasha mudahkan saya jumpa Hawra, dia pun sibuk kerja’

PELAKON Kamal Adli bersyukur apabila bekas isterinya, Uqasha Senrose memudahkan urusan untuk meluangkan masa dengan anak perempuannya, Hawra Uqaira.

Meskipun tidak mempunyai perjanjian hadanah secara rasmi, pemilik nama lengkap Ahmad Kamal Ahmad Adli, 42, menyifatkan persefahaman dicapai bersama bekas isteri adalah demi kebaikan anaknya.

Kami tiada hadanah cuma keputusan bersamalah. Tapi macam saya cakap saya gembira sebab Uqasha memudahkan saya untuk jumpa Hawra.

“Dia pun sibuk bekerja semua jadi dia pun mungkin mengharapkan saya ambil juga luangkan masa dengan Hawra.

“Benda yang syok adalah Hawra pun seronok, dia memang suka berjalan. Jadi bila setiap kali saya ambil, dia teruja nampak saya, bersyukur sangat,” katanya kepada HibGlam semasa majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli-belah KLGCC, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu memaklumkan belum diberi hak untuk bermalam dengan puteri tunggalnya kerana sedar akan kekurangan pengalaman menguruskan kanak-kanak itu.

Hak bermalam? Buat masa ini tidak lagi sebab saya faham dan tahu mungkin pihak Uqasha risau bila saya takut tiada pengalaman nak jaga dia (Hawra).

“Tapi saya tak ada masalah pun, saya cuba faham dan dapat jumpa pun dah bersyukur sangat. Boleh luangkan masa dengan dia sebab masa tidur dia pukul 10 malam, jadi sebelum itu saya dah hantar dia balik,” ujarnya.

Berkongsi mengenai Ramadan, Kamal tidak menafikan wujud perbezaan yang amat ketara selepas hidup bersendirian.

“Ramadan tahun ini sangat berbeza sebab bila balik tiada orang. Itu yang terlepas sahur.

“Hari ketiga sahur dah tak boleh bangun, tidak mampu dah sebab tiada orang kejut. Sebelum ini bangun sebab kena kejutkan orang, pastikan orang sahur juga.

“Tapi tahun ini tak makan pun tak apa, memang tangkap muat saja setakat ini, apa yang ada,” katanya lagi.

Malah, dia sempat berseloroh mengenai keadaan dapurnya yang sudah lama tidak berasap memandangkan jarang memasak.

“Tak ada kepentingan sangat nak fikir macam dahulu. Kalau hari pertama puasa, saya tak reti masak, konon-konon masak.

“Saya tak tahu mungkin tidak sedap tapi sebab orang nak jaga hati saya, dia katalah sedap.

Tahun ini tak masak pun, dapur pun saya dah lupa bentuk macam mana sebab lama sangat tak masuk dapur,” tuturnya.

Sebelum ini, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu selepas aktres itu memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok