Nadia Brian, Nedim saling unfollow? Ini jawapan empunya badan

BARU beberapa bulan menjalin cinta, perhubungan pelakon Nadia Brian bersama usahawan sensasi Nedim Nazri Aziz didakwa sudah berakhir apabila mereka tidak lagi saing mengikuti akaun masing-masing menerusi Instagram.

Memberi bayangan seolah-olah sedang merajuk, Nadia, 35, bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Baginya, situasi sedemikian hanyalah satu kelaziman bagi seseorang wanita.

“No comment (tiada komen) kita kadang-kadang perempuan begitu,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengharapkan doa baik-baik daripada orang ramai tanpa memperincikan situasi sebenar yang berlaku antara dirinya dengan bekas suami aktres Nora Danish itu.

“Sebenarnya kami pun baru saja dalam fasa perkenalan juga. Jadi apa-apa pun saya doa yang baik-baik saja.

“Sudah tentu nak orang doakan kita di bulan Ramadan ini. Masing-masing pun sibuk dengan kehidupan masing-masing.

“Apa-apa pun fokus yang penting contohnya macam kerja dan keluarga. Jadi, sudah semestinya nak yang baik-baik, doa yang baik-baik,” katanya kepada HibGlam pada majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli belah KLGCC, di sini, kelmarin.

Ditanya mengenai tindakannya yang seolah-olah tidak terbuka berkongsi perihal hubungan cinta, pelakon drama Akulah Balqis itu mengakui lebih selesa menjaga privasi.

“Macam saya sebenarnya kalau peribadi saya malulah nak cerita-cerita kan nak dapatkan cerita pula.

“Saya bukan macam itu, dalam hubungan kita pernah dulu (cerai) jadi tak nak rasa benda itu peribadi sikit.

“Tapi saya faham peminat risau dan sayang, terima kasih cuma apa yang saya kongsi, saya kongsi,” jelasnya.

Sebelum ini, peminat menyedari tindakan Nadia dan Bos Ned yang sudah menyahikut satu sama lain dalam Instagram.

Pada Disember lalu, Nadia dan Bos Ned mencuri perhatian ramai selepas memuat naik foto bersama dalam akaun Instagram masing-masing.

Nadia turut memaklumkan Bos Ned memiliki ciri-ciri lelaki idamannya iaitu seorang yang penyayang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok