DEMI memenuhi permintaan peminat, penyanyi Nourul Wahab sedia kembali berduet dengan bekas suaminya yang juga penyanyi dan komposer, Ajai.
Menurut Nourul atau nama lengkapnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, ramai peminat yang memintanya agar berduet dengan Ajai di Konsert For You Nourul yang akan berlangsung pada 30 Mei depan.
“Pada usia yang sudah matang dan lebih waras ni, kita sudah belajar lebih banyak.
Dalam perjalanan karier saya, memang ada fasa di mana saya berduet dengan Ajai. Peminat juga yang menyokong dan membeli album duet kami dulu. Mereka menyumbang rezeki dari segi royalti.
“Pada saya sekarang, saya mahu membalas jasa dan memberi penghargaan kepada peminat-peminat yang menyokong saya ketika era itu.
“Jadi jika Ajai sudi untuk berduet walaupun hanya satu lagu, saya terbuka untuk bekerjasama dengannya demi peminat. Bukan untuk saya dan bukan juga untuk dia,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar bersama Nourul Wahab, di sini, semalam.
Tambah penyanyi yang kini menetap di Bali itu lagi, dia turut menjemput komposer-komposer yang terlibat dalam albumnya ke konsert itu nanti, dan Ajai merupakan salah seorang komposer yang pernah mencipta lagu untuknya.
Ajai ialah penerbit album kedua saya. Insya-Allah kalau ada rezeki, adalah persembahan duet kami. Tetapi kalau tidak, idea untuk persembahan pada konsert itu nanti sudah saya siapkan,” jelasnya.
Berkongsi tentang pertukaran tarikh konsert dari 17 April ke 30 Mei 2026, kata Nourul perkara itu terpaksa dilakukan kerana penganjur adalah menarik diri atas sebab peribadi.
“Saya memilih penganjur tersebut pada mulanya kerana suka dengan idea mereka yang segar. Ini adalah kali pertama mereka mahu menganjurkan konsert.
“Tetapi ada masalah yang membuatkan mereka terpaksa menarik diri. Pada mulanya saya fikir mahu batalkan konsert ini. Tetapi sidang media sudah dibuat. Jadi saya hubungi rakan saya iaitu Ayie dan minta pertolongannya untuk menyelesaikan masalah ini.
“Suami juga minta saya teruskan dan sanggup menggunakan wang simpanan masa depan kami demi menjayakan konsert ini. Lagipun sudah ada ratusan peminat yang membeli tiket,” kongsinya.
Bagi peminat yang ingin membeli tiket, layari www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM198 (Sehati Sejiwa), RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6000 (VIP Box). – HIBGLAM
