Bukan rajuk, Riz Zaizizi kembali dengan lagu raya

LEBIH sedekad menyepi dari dunia nyanyian, penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz Zaizizi akhirnya kembali menyertai pasaran hiburan.

Tidak kembali dengan tangan kosong, pemilik nama penuh Mohd Idris Mohd Zaizizi, 39, muncul bersama lagu raya pertamanya berjudul Bulan Dah Nampak duet bersama pendatang baharu, Acha.

Katanya, single raya tersebut mempunyai vibe moden dan klasik yang senang diterima masyarakat.

“Lagu ini tidaklah sukar untuk dinyanyikan dan mudah diingati, ‘vibe’ yang kami cuba ketengahkan ialah moden serta klasik.

Rentaknya ‘catchy’ tidaklah membebankan dan memang mudah untuk pendengar ikut menyanyi, itu paling penting sebenarnya.

“Sebab kalau dilihat sejak tahun lepas, lagu raya sedih sudah jarang didengar dan kebanyakannya yang menggembirakan.

Harapnya mood ‘happy’ Bulan Dah Nampak diterima baik,” kata penyanyi yang pernah berduet dengan Alyah menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.

Bulan Dah Nampak merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Syed Yahya Syed Othman dan diterbitkan komposer terkenal, L.Y.

Bercakap tentang gandingannyan, Riz menyifatkan Acha, 21, yang merupakan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) merupakan penyanyi baharu yang memiliki pakej lengkap.

“Acha adalah penyanyi baharu yang bagus dan sedia menerima tunjuk ajar. Kerjasama dengannya untuk lagu ini berjalan dengan baik.

Sejujurnya saya tidak mengenalinya tetapi selepas rakam lagu ini bersama, saya kagum dengan kualiti vokalnya. Dia boleh pergi jauh,” katanya naib juara AF6 itu.

MESKI masih hijau, Acha berbakat besar bahkan Riz yakin rakan duetnya ini mampu pergi jauh sekiranya diberi peluang.


Sepi

Ditebak mengenai ‘kehilangannya’ selama lebih 10 tahun, Riz mengakui pernah melalui fasa tertekan disebabkan kerjaya seni yang kurang menjadi.

Dia bahkan mendedahkan pernah mengalami depresi apabila kurang mendapat perhatian pada awal kemunculan dalam dunia seni.

“Ketika mula bergelar penyanyi dan tamat AF, saya masih mentah dan mudah terhanyut dengan emosi.

Ketika itu sudah usaha macam-macam untuk nama dikenali termasuk buat album dan beberapa single tetapi kurang dapat sambutan, memang agak kecewa dan depresi,” ujarnya.

Enggan membiarkan dirinya terus larut dalam rasa kecewa, dia nekad bangkit mencari tujuan hidup baharu termasuk mencuba banyak bidang lain seperti bisnes dan guru mengaji.

Katanya, pengalaman lalu membentuknya menjadi individu yang lebih matang.

Dia berpendapat tujuan hidup seorang penyanyi yang sebenarnya bukanlah bergantung kepada dunia nyanyian semata-mata.

“Bila sudah semakin matang, saya sedar bahawa sebenarnya sasaran hidup bukan menyanyi saja.

Saya sentiasa percaya bahawa ada sesuatu yang Allah minta kita cari, sekarang hidup saya semakin baik, alhamdulillah.

“Sekarang saya buat banyak benda seperti mengajar mengaji, menyanyi dan jalankan bisnes wangian kereta dan makanan retort,” ujarnya.

Berkongsi lanjut mengenai kelas mengaji yang dijalankannya secara virtual, Riz berkata, dia mengajar asas cara bacaan al-Quran.

Saya nak tegaskan, saya bukan mengajar hukum tajwid sebaliknya membetulkan makhraj huruf dan cara bacaan seperti memperbaiki pernafasan.

“Kelas ini saya sudah berjalan sejak empat hingga lima tahun lalu, semuanya bermula masa Covid-19.

“Syukur sambutan agak baik dan ketika ini pelajar saya paling jauh adalah dari Australia,” ujarnya yang tidak meletakkan secara spesifik yuran kelas mengajinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok