Tujuh tahun ‘sepi’, Adriana Ghafar kembali bersinar

SELEPAS tujuh tahun menyepi daripada radar industri hiburan, Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar akhirnya kembali mengorak langkah dengan wajah lebih matang dan pengalaman hidup penuh warna.

Adriana atau nama sebenarnya Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, 28, mendedahkan tempoh ‘kehilangan’ tersebut bukan disengajakan, sebaliknya digunakan untuk menimba ilmu dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.

Malah, keputusan mengundurkan diri seketika daripada dunia glamor memberi ruang membina masa depan lebih kukuh sebelum kembali menggapai impian seni.

“Saya merupakan graduan undang-undang (ijazah sarjana muda) dari Universiti Malaya. Selepas itu saya menjalani chambering sebagai peguam.

“Secara rasmi saya sebenarnya peguam bertauliah. Namun buat masa ini saya mahu memberi tumpuan kepada industri hiburan, khususnya bidang lakonan dan pengacaraan,” katanya.

Sepanjang tempoh berehat daripada dunia glamor, Adriana turut menyalurkan sisi kreatif melalui penerbitan buku puisi berjudul Everything in Between.

Menariknya, karya tersebut mendapat sambutan memberangsangkan sehingga habis terjual dalam kalangan pembaca.

Berkongsi tentang penerimaan keluarga terhadap keputusannya kembali aktif sebagai anak seni, Adriana mengakui pada awalnya mereka berasa sedikit bimbang.

“Mula-mula memang ada rasa gentar. Kita tahu bidang seni bukan semua orang memahami perjalanan serta cabarannya.

“Pada awalnya keluarga agak risau apabila saya memilih kerjaya ini, namun mereka tetap memberi sokongan. Alhamdulillah dengan sokongan tersebut, saya akan teruskan perjalanan dalam industri ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Adriana menegaskan keputusan bergelar pelakon selepas menamatkan pengajian tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia.

“Bagi saya tidak wujud istilah sia-sia. Ijazah undang-undang tetap berada dalam genggaman.

“Saya juga tidak memerlukan pengesahan daripada sesiapa tentang pilihan hidup ini kerana saya masih boleh kembali ke bidang guaman pada bila-bila masa,” jelasnya.

Sejak kembali aktif pada tahun ini, Adriana sudah membintangi dua telefilem serta sebuah drama televisyen, selain muncul sebagai model bagi pereka fesyen tempatan.

Selain dunia seni, graduan Universiti Malaya tersebut turut terlibat dalam pelbagai kempen jenama utama serta aktif memperjuangkan isu pemerkasaan wanita melalui kerjasama bersama organisasi advokasi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok