‘Kalau ada bakat, teruskan’ – Zul 2by2 sokong pempengaruh berkualiti

LAMBAKAN pempengaruh media sosial melancarkan lagu raya tahun ini, penyanyi serta komposer, Zul 2by2, menyifatkan trend tersebut wajar dilihat secara terbuka selagi individu terbabit memiliki minat dan kemampuan dalam bidang nyanyian.

Ujar Zul atau nama sebenarnya Zulkefli Majid, 54, perkembangan teknologi serta kemunculan pelbagai platform digital kini membuka ruang luas kepada sesiapa sahaja berkarya dalam dunia muzik tanpa mengira latar belakang.

“Sejak 1994 saya berada dalam industri muzik. Bagi saya, isu pempengaruh keluarkan lagu raya sebenarnya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Zaman sekarang sesiapa sahaja boleh menerbitkan single. Tidak kisah sama ada dia pempengaruh, penjual nasi lemak atau individu biasa. Jika ada bakat menyanyi, teruskan sahaja,” katanya kepada HibGlamz

Tambah pelantun lagu Kau Mawarku itu, penilaian terhadap sesebuah karya tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu penyanyi semata-mata sebaliknya, komposer memainkan peranan penting memastikan lagu sesuai dengan kemampuan vokal penyanyi.

“Sedap atau tidak sesebuah lagu banyak bergantung kepada penciptanya. Komposer perlu faham karakter serta kemampuan penyanyi.

“Setiap penyanyi ada kekuatan dan kelemahan. Tugas pencipta lagu adalah menutup kelemahan itu sambil menonjolkan kelebihan vokal mereka.

“Jika lagu kurang sedap, jangan terus salahkan penyanyi. Lihat dahulu siapa menciptanya. Komposer juga memikul tanggungjawab besar dalam menentukan kualiti karya,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Zul turut melancarkan lagu raya berjudul Raya Kita Punya yang turut menampilkan beberapa personaliti seperti Maya The Girls, Chef Shah World, Madam Liza, Nadia Rozi dan Sifu Dr Rayyan.

Paling penting kata Zul, lagu ciptaan bersama Madi Mulyadi itu merupakan single kedua diterbitkan di bawah syarikat rakaman Fiz Star Empire.

“Lagu ini menampilkan enam penyanyi termasuk saya sendiri. Keistimewaannya, kami selitkan loghat Perak selain gabungan elemen rap, dangdut dan joget.

“Pendek kata, biarlah satu lagu penuh warna. Barulah suasana hari raya terasa lebih meriah,” katanya.

Sementara itu, penerbit lagu berkenaan, Bonda Puteri Ryana, optimis karya tersebut mampu mencuri perhatian pendengar menjelang Aidilfitri.

“Lagu ini sangat mudah melekat di telinga walaupun baru sekali dengar. Saya sendiri cepat jatuh hati ketika pertama kali mendengarnya.

“Harapan saya, pendengar turut merasakan keseronokan sama apabila lagu ini berkumandang sepanjang musim raya nanti,” tuturnya. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok