PENYANYI Liza Hanim mengakui dirinya kini dalam fasa bertenang selepas membuat laporan polis berikutan isu anaknya, Marsya Qistina menjadi mangsa buli siber.
Menurut Liza atau nama lengkapnya Haliza Hanim Abdul Halim, 46, meskipun individu tersebut sudah membuat permohonan maaf namun dia tetap mahu bertemu empat mata.
“Sekarang dalam tempoh bertenang, kebetulan saya buat laporan polis sehari sebelum Ramadan. Dia sudah buat permohonan maaf tapi syarat saya datang jumpa dengan saya.
Kalau dia berani berkata sedemikian maka ‘be a man’ dan kalau sudah minta maaf maknanya dia mengakui kesilapan. Cuma, datang jumpa saya, itu syaratnya.
“Kalau tidak, memang saya akan bawa ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui di majlis iftar LOL Entertainment, semalam.
Tambah pelantun lagu Gelisah Mimpi itu lagi, dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang pernah melakukan perkara sama terhadapnya sebelum ini.
“Saya sendiri pernah kena dengan individu yang sama. Dia kutuk fizikal saya, dia kata saya susah nak berjaya sebab muka macam bulan.
Saya sebenarnya sudah biasa hadap perkara ini dari dulu lagi. Tetapi bila melibatkan anak sendiri, perlu ambil tindakan sebagai ibu yang mempertahankan anaknya.
“Kebetulan pula Marsya sedikit emosi pada ketika itu kerana baru kehilangan kawan baiknya disebabkan kanser,” jelasnya.
Pada masa sama, Liza menegaskan tindakannya bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi sebagai mesej kepada masyarakat bahawa undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk melindungi diri daripada buli siber.
Sementara itu, Marsya mengakui pada awalnya dia kurang bersetuju dengan tindakan ibunya yang mahu membawa isu itu ke pihak berkuasa.
“Awalnya saya tidak bersetuju dengan tindakan mama, kenapa nak besar-besarkan isu ini. Tapi mama cakap sudah lama dia diamkan diri bila kena dekat dia. Tapi bila perkara itu terjadi kepada saya, saya rasa ibu bapa lain pun mungkin akan buat perkara yang sama.
Kalau dah ada akta yang mengatakan boleh lapor polis, boleh saman dan sebagainya kenapa tidak kita gunakan itu sebagai hak untuk mempertankan diri.
“Macam mama cakap, kita nak kena ajar orang di luar sana, apa yang anda kata ada kesannya,” ujarnya.
Terdahulu, Liza meluahkan rasa kesal terhadap netizen yang membandingkan Marysa dengan peserta program Talk To My Manager lain yang dikatakan lebih menyerlah. Lebih parah, apabila Marsya turut terkena ‘body shaming’ sehingga mendorong Liza untuk membuat laporan polis. – HIBGLAM
