LAMA menyepi selepas menjadi Naib Juara Dewi Remaja 2019, pelakon Adriana Ghafar menepis dakwaan kononnya jeda itu disebabkan dia sibuk menjalinkan hubungan dengan orang kenamaan selain selesa ‘dibela’ individu terbabit.
Menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas, Adriana atau nama sebenarnya Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, 28, berkata, alasannya, mengambil rehat sementara itu bukanlah seperti didakwa sebaliknya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya.
“Saya tak boleh bercakap panjang mengenai perkara itu kerana bagi saya, sejak dulu sampai sekarang saya berdiri dengan usaha sendiri.
Cerita kononnya saya ‘dibela’ seseorang memang tak betul. Hakikatnya saya dijaga mak dan ayah. Mereka penat membesarkan saya, jadi kredit sepatutnya diberikan kepada mereka.
“Bagi saya, itu cuma gosip. Saya menghilang sebab sambung belajar,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai godaan dalam industri hiburan, Adriana berpandangan perkara tersebut bukan hanya wujud dalam dunia seni, sebaliknya boleh berlaku dalam mana-mana bidang pekerjaan.
“Godaan bukan hanya ada dalam industri seni. Dalam bidang profesional pun perkara sama boleh berlaku.
Namun latar belakang saya sebagai graduan undang-undang sedikit sebanyak menjadi benteng. Orang tidak boleh sesuka hati mendekati atau memperlakukan saya sewenang-wenangnya.
“Bukan bermaksud saya sampai ke tahap mengambil tindakan undang-undang, tetapi sekurang-kurangnya orang tahu batasan,” ujarnya pada majlis berbuka puasa bersamanya, di sini, semalam.
Ditanya kemungkinan andai ada percubaan individu berstatus suami orang atau VIP yang ingin mendekatinya, Adriana menegaskan perkara tersebut langsung tidak akan mendapat tempat mahupun perhatian dalam hidupnya.
Sudah tentu tidak. Kalau boleh kita jauhi lelaki berstatus suami orang. Saya bukan elak tapi tolak terus.
“Tolak sahaja. Saya memang tidak melayan perkara seperti itu. Saya mahu dikenali kerana bakat, bukan kerana gosip murahan.
“Saya perlu menjaga maruah sebagai figura awam dan pada masa sama latar belakang saya dalam bidang guaman. Saya tak mahu orang persoalkan kredibiliti hanya kerana salah langkah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Adriana kini kembali aktif dalam industri hiburan selepas hampir enam tahun memperlahankan kerjaya seni bagi menumpukan perhatian terhadap pengajian undang-undang.
Kini, pelakon tersebut kembali sibuk menerima tawaran drama serta telefilem, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya. – HIBGLAM.
