PELAKON Qasrina Karim berkongsi adik bongsunya yang kini menuntut di Mesir berada dalam keadaan selamat susulan ketegangan membabitkan Iran, rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Mengikut perancangan awal, Qasrina, 30, berkata, adiknya Arif Karim, 24, yang menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura dijadualkan pulang ke tanah air pada minggu hadapan.
Bagaimanapun keputusan tersebut belum dapat dipastikan memandangkan semua lapangan terbang di negara itu ditutup buat sementara waktu.
“Adik saya sekarang berada di Mesir dan dia maklumkan di tempatnya semuanya baik-baik saja.Dia kata semuanya berada dalam keadaan selamat.
Mengikut perancangan, minggu depan dia mahu balik beraya tapi semua lapangan terbang di sana tutup buat masa sekarang, jadi tak tahu dia boleh balik atau tidak. Kena tunggu keadaan reda dulu,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di majlis Viu Together Gather dan Iftar di Dewan Serai, pusat beli belah KLGCC, semalam.
Akui risau dengan insiden yang berlaku, pelakon drama My Famous Ex-Boyfriend itu lebih tenang apabila memberikan perkembangan terkini mengenai situasi di sana.
“Sudah tentu satu keluarga saya risau tentang adik saya. Apatah lagi dia sepatutnya balik minggu depan tapi disebabkan keadaan di sana, kemungkinan dia tak boleh balik.
Tapi dia maklumkan keadaan di sana selamat, jadi kami okey. Dia pun tenang dan tak panik, bila dia tenang, kami pun tenang.
“Emak sentiasa bermesej dengan ibu bapa pelajar di sana untuk tahu perkembangan semasa. Alhamdulillah setakat ini semua pelajar di sana selamat,” katanya.
Dalam masa sama, Qasrina mengakui tahun ini sepatutnya menjadi momen istimewa buat keluarganya untuk berkumpul memandangkan mereka baru sahaja menyambut kehadiran ahli keluarga baharu.
“Kami memang mengharapkan dapat meraikan Syawal bersama sebab tahun lepas dia tak balik, jadi sepatutnya tahun ini kami mahu berkumpul memandangkan kakak baru selamat melahirkan anak.
Dia putuskan nak balik tapi kalau tak dapat tidak mengapa, asalkan dia selamat. Itu saja yang harapkan dan kita doakan yang terbaik buat dia,” katanya lagi.
Sebelum ini, Israel dan AS melancarkan serangan berskala besar yang bertujuan menjatuhkan republik Islam itu.
Impak serangan tersebut, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei meninggal dunia dan Tehran melakukan serangan balas dengan melepaskan tembakan peluru berpandu di seluruh Timur Tengah.
Disebabkan itu, beberapa negara seperti Iran, Iraq, Israel, Syria, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penutupan separa ruang udara.
Situasi tersebut turut memberikan impak terhadap pergerakan keluar masuk di negara berhampiran termasuk Mesir. – HIBGLAM
