Saya sendiri tiada pakej, tapi ada ‘barang’ – Zahiril Adzim

PELAKON Zahiril Adzim percaya industri seni tanah air memerlukan lebih ramai bakat seperti Firdaus Karim yang mempertaruhkan kualiti lakonan berbanding paras rupa.

Zahiril atau nama lengkapnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar, 42, menyifatkan kehadiran pelakon yang mempunyai bakat yang kuat adalah satu keperluan untuk memastikan penonton terus disajikan dengan karya bermutu tinggi.

“Saya nak ada lagi ramai Firdaus dalam industri dan saya menunggu ramai lagi kedatangan pelakon hebat, bagus serta berkualiti tanpa ada pakej yang orang lain ada.

“Saya sendiri pun tiada pakej luaran, cuma saya ada ‘barang’. Saya sangat bersyukur penonton makin lama makin buka mata, terima dan tahu.

“Mula-mula nampak dikecam kerana fizikal tapi hujung-hujung kalian rasa lakonan dia, itu yang kita nak dalam penonton kita hari ini. Bila jadi begini, akan ramai pelakon-pelakon macam ini masuk,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon drama Andai Tiada Dia itu tidak menolak kehadiran pelakon yang memiliki pakej paras rupa yang menarik kerana sedar setiap penonton mempunyai cita rasa yang berbeza.

“Tapi saya tidak menolak orang yang ada pakej. Sudah semestinya kita nak ada yang kacak dan cantik untuk mewarnai kita punya industri.

“Sesetengah orang nak tengok filem yang ada hero tampan dan heroin cantik. Tapi kita kena ada pelakon yang bekerjasama seperti Firdaus dalam industri,” katanya lagi.

Mengimbau memori awal penglibatan, Zahiril mengakui tidak terlepas daripada kritikan mengenai fizikal tetapi perkara tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus membuktikan keupayaan diri.

“Waktu awal berlakon ada orang cakap saya tak kacak dan pendek tapi saya tak pernah putus asa sebab saya tahu saya ada benda boleh kongsi dengan orang.

“Saya sebenarnya mengharapkan dapat jadi satu tanda aras orang yang senasib dengan saya. Jangan risau ada tempat kita dalam industri, yang penting berlakon betul-betul.

“Elaklah dari kontroversi dan jaga diri dalam industri sebab saya dah buktikan. Saya harap ramai lagi adik-adik saya yang datang dari UiTM, Aswara atau sekolah seni belajar tentang lakonan masuk industri, kita perlukan orang macam kalian,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, nama Firdaus Karim menjadi tular selepas membintangi drama Doa Yang Terlindung sebagai Ustaz Irfan.

Meskipun, pada mulanya dikritik kerana dianggap kurang kacak untuk memegang watak utama, namun lama-kelamaan penonton mula memuji kehebatan lakonannya yang sangat berkesan. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok