‘Kerajaan UAE cekap, keluarga saya semua selamat setakat ini’

PENYANYI Sasha Saidin menjadi antara individu yang terkesan emosi susulan perkembangan terkini di bandaraya Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu akibat ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Sasha atau nama lengkapnya, Sasha Saidin, 49, bagaimanapun bersyukur apabila suaminya, Sirhan Wahab serta kenalan mereka yang masih berada di sana dalam keadaan selamat.

“Saya sangat tersentuh. Terima kasih kepada semua yang menghubungi dan bertanya khabar mengenai keadaan saya dan suami, Sirhan.

“Saya pulang beberapa hari sebelum Ramadan. Walaupun saya berada di sini seorang diri, saya masih mempunyai keluarga termasuk sepupu di Abu Dhabi serta sahabat warga Malaysia di sana.

“Alhamdulillah, setakat ini keluarga dan insan tersayang berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam hantaran video Instagram.

Anggota kumpulan Elite itu memaklumkan ketika ini dia berada di Kuala Lumpur bersama ibunya dan anaknya, Arya.

Sasha yang sudah enam tahun menetap di Dubai berkata, dia sentiasa mendapatkan perkembangan terkini daripada suaminya.

“Situasi dikawal kerajaan UAE Sepanjang saya menetap di Dubai, mereka sangat cekap menguruskan keadaan dan memastikan orang ramai kekal tenang.

“Bunyi siren yang kedengaran hanyalah langkah keselamatan supaya orang ramai sentiasa berwaspada dan berada di dalam bangunan berikutan beberapa insiden yang berlaku,” ujarnya.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan pengalaman berdepan pandemik Covid-19 dan banjir besar sebelum ini yang diuruskan dengan baik pihak berkuasa.

Jadual penerbangan pulang ahli keluarganya juga berdepan kelewatan berikutan operasi lapangan terbang yang terjejas buat sementara waktu.

“Insya-Allah dalam beberapa hari lagi lapangan terbang akan dibuka semula. Saya menantikan saat untuk kembali bersama keluarga dan suami,” katanya.

Pada masa sama, Sasha mengingatkan orang ramai agar jangan terpengaruh dengan berita palsu yang tular di media sosial.

“Terlalu banyak video dan maklumat yang dikatakan berlaku di Dubai, tetapi sebenarnya tidak tepat.

“Tidak semua yang dibaca adalah benar. Pastikan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan boleh dipercayai.

“Kita cuba kekal positif dan berharap keadaan kembali pulih seperti sediakala,” tuturnya.

Sasha mendirikan rumah tangga dengan Sirhan juga usahawan pada Januari 2020 dan kemudian tinggal di Dubai mengikuti suaminya yang bekerja di sana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok