‘Bukan bersaing, cuma mahu ada lagu raya sendiri’

SELEPAS beberapa bulan melancarkan single, Irene Catalina memilih untuk mengayam memori Syawal tahun ini dengan bingkisan yang cukup bermakna.

Mengangkat judul Vibes Hari Raya, naskhah sulung sempena lebaran ini merupakan hasil nukilan kreatif komposer Bendhitto atau Addiq Afdzal.

Menariknya, Irene, 48, tidak bersendirian. Dia berkolaborasi dengan pempengaruh Nuaim kerana tertarik dengan keunikan suara pemuda itu mendapat julukan Bruno Mars Malaysia.

Menceritakan proses rakaman, Irene berkata, segalanya dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

Namun, faktor kekangan waktu bukanlah alasan untuknya mengabaikan kualiti, apatah lagi ini merupakan pengalaman pertama merakamkan lagu raya.

“Persiapan agak terburu-buru sebab dilakukan pada saat akhir. Rakaman lagu ini mengambil masa agak lama ini pengalaman pertama buat lagu raya.

“Saya perlu mencari ‘mood’ ceria dan gembira supaya kena dengan semangat hari raya.

“Dari segi genre, lagu ini berkonsepkan pop tetapi kami selitkan elemen instrumen tradisional supaya kedengaran lebih ‘catchy’ dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat,” katanya kepada HibGlam.

Menyentuh mengenai trend lambakan lagu raya termasuk golongan pempengaruh, bekas anggota kumpulan Angels itu melihat perkara itu secara positif.

Baginya, setiap karya mempunyai ruang tersendiri untuk berkembang.

“Saya tidak melihat ini sebagai satu persaingan dengan artis veteran atau penyanyi lain. Niat kami hanya ingin mencuba dan memeriahkan suasana yang hanya dirasai sebulan sahaja dalam setahun.

“Mengenai pempengaruh yang buat lagu raya pula, mungkin itu salah satu cara pemasaran mereka untuk kekal popular.

“Nuaim juga bersetuju bahawa lagu raya lebih mudah ‘hidup’ dan relevan kerana akan diputarkan setiap tahun berbanding lagu komersial biasa,” jelas Irene lagi.

Ditanya mengenai keberanian melancarkan lagu raya pada saat ramai artis terkenal turut melakukan perakra sama, ,Irene kekal tenang dan memaklumkan dia cuma mahu memeriahkan suasana dan memiliki naskah lebaran sendiri sebagai kenang-kenangan.

“Risau itu tidaklah sebab kita sedia maklum mereka bersedia muncul dengan lagu raya baharu.

“Jadi, saya rasa kenapa tidak kita pun cuba lakukan perkara sama. Lagipun saya tiada niat pun nak bersaing, cuma mahu ada lagu raya sendiri,” ujarnya semasa majlis pelancaran dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah anak Yatim Al-Syaqiri, Ulu Klang baru-baru ini.

Difahamkan, majlis berbuka puasa tersebut didedikasikan khas buat arwah adik perempuan, arwah bapa dan neneknya yang telah tiada.

“Majlis hari ini sebenarnya untuk memperingati arwah adik, ayah dan nenek saya.

“Kenangan paling manis dengan arwah adik adalah setiap kali bulan puasa, kami tidak pernah terlepas untuk berbuka bersama.

“Arwah gemar memasak dan dia sangat mahir buat pelbagai kuih tradisional Melayu termasuk karipap dan kuih talam.

“Setiap kali raya menjelang, memang saya akan sangat rindukan air tangan dan kuih-muih yang adik buat,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok