‘Ada yang cakap, penginapan mereka tak ditanggung syarikat penerbangan’

PELAKON Norreen Iman meluahkan kebimbangan terhadap nasib jemaah Malaysia di Tanah Suci yang terkandas di sana susulan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.

Noreen atau nama lengkapnya Norreen Iman Abdullah, 32, berkata berkemungkinan besar ramai dalam kalangan jemaah berhadapan kesulitan memandangkan agensi hanya menanggung kos tiket penerbangan, manakala penginapan dan makanan perlu dicari mereka sendiri.

“Saya tertanya-tanya sesuatu. Wallahi, hati ini terdetik. Mengenai jemaah yang terkandas di Jeddah dan Madinah buat masa ini, saya ada menonton satu video yang memaklumkan penginapan mereka tidak ditanggung pihak penerbangan.

“Pihak agensi pula tidak mampu menanggung semua untuk mereka, hanya dapat menyediakan tiket penerbangan balik sahaja,” katanya dalam hantaran di Threads.

Pada masa sama, pempengaruh itu mahu menghulurkan bantuan kerana risau andai ada dalam kalangan jemaah berdepan tekanan emosi berikutan situasi yang tidak dijangka itu.

“Saya terfikir, kalau simpanan mereka sudah berkurang, nak makan, tempat tinggal lagi, ubat-ubatan, sekurang-kurangnya untuk mereka terus bertahan sementara menunggu arahan sampai bila perlu ada di sana.

“Kalau ada peluang dapat membantu mereka apa salahnya. Sekiranya ada yang memerlukan bantuan, saya nak tolong. Saya percaya pasti ada juga yang lain ingin sama-sama membantu.

“Tolong bantu saya untuk hubungi mereka. Insya-Allah, kita cuba bantu permudahkan urusan mereka,” ujarnya.

Perkongsiannya meraih maklum balas ramai termasuk waris jemaah yang turut memaklumkan keadaan ahli keluarga mereka yang terkandas di Tanah Suci.

“Ibu saya masih terkandas dekat sana. Dia pergi sendirian kerana emak saudara saya iaitu adik ibu baru meninggal dunia di Mekah. Tiba-tiba perang pula,” tulis seorang pemilik akaun Threads.

Berdasarkan laporan, sekitar 1,600 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Arab Saudi susulan pembatalan serta gangguan operasi beberapa syarikat penerbangan akibat konflik di Asia Barat.

Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd. Dzaraif Raja Abdul Kadir memaklumkan pihaknya berjaya menghubungi kebanyakan jemaah yang dikenal pasti berada di Jeddah, Mekah dan Madinah. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok